Baby bersama Rooaida dan Shaharudin

KUALA LUMPUR – Walaupun hanya berstatus kucing baka rumah namun Baby milik pasangan suami isteri, Shaharudin Shuib dan Rooaida Mohd Darus dinobatkan juara dunia dalam Pertunjukan Kucing Antarabangsa di Oslo, Norway baru-baru ini.

Kucing betina itu berjaya menambat hati para juri dengan kejinakan, ketenangan serta sifat manja ketika penghakiman dibuat dalam pertunjukkan anjuran Persekutuan Kucing Antarabangsa (Fife) tersebut Isnin lalu.

Selain bulu yang cantik dan didandan rapi oleh Shaharuddin sendiri, Baby menarik perhatian juri dan orang ramai kerana sangat jinak ketika penilaian sedang dibuat di meja hakim.

Lebih manis lagi, Baby bersama seekor lagi kucing jantan, Miko milik pasangan yang sama bersaing sesama sendiri di pentas akhir bagi penentuan juara mutlak.

Muhammad Habibullah (kiri) bersama Rooaida, Shahabudin dan anaknya di Norway baru-baru ini.

Baby berumur sembilan tahun bersama-sama tujuh ekor kucing yang lain terdiri daripada empat ekor kucing baka British Short Hair, tiga ekor kucing rumah dan seekor kucing bengal mewakili negara ke persada antarabangsa hasil inisiatif Kelab Kucing Malaysia (KKM).

“Penyertaan kali kedua ini membuahkan hasil apabila juri tertarik dengan perwatakan Baby selain piawaian lain yang memenuhi spesifikasi pemarkahan.

“Ini adalah penghargaan yang tinggi diterima kerana Baby perlu bersaing sengit dengan 1500 ekor kucing lain yang turut menyertai pertunjukan ini,” kata Rooaida ketika dihubungi  semalam.

Turut mengiringi kontinjen negara ke Oslo, Timbalan Presiden KKM, Habil Husssain dan Setiausaha Agong, Muhammad Hasbullah Ibrahim.

Menurut Rooaida, kucingnya itu sudah mendapat pendedahan awal menyertai pertunjukkan tersebut dengan memberi ruang kepada Baby untuk berada di persekitaran yang terbuka.

“Saya dan isteri kerap bawa Baby menyertai pertunjukan kucing dalam negara bagi membiasakan dia dengan khalayak ramai, ia dapat memupuk watak jinak dan manja.

“Baby hanyalah kucing baka biasa, kamil ambil dia dari jalanan dan kemudian dipelihara dengan baik sehingga kini,” ujarnya.

Sementara itu, Muhammad Hasbullah memberitahu, kucing-kucing yang berdaftar dibawah KKM dan menyertai siri pertunjukkan Fife peringkat tempatan mendapat merit untuk menyertai kempen pertunjukkan tersebut di peringkat global.

Tambahnya, pertunjukkan berprestij antarabangsa itu yang diadakan secara tahunan bertujuan untuk menggalakkan lebih ramai orang awam mencintai haiwan peliharaan serta menjaganya dengan lebih baik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here