KUALA LUMPUR – Imbuhan yang didakwa diberikan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) adalah berdasarkan pencapaian syarikat

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, PHB telah berjaya meningkatkan keuntungan kasar dan keuntungan operasi bagi tahun 2022 dan 2023.

“Emolumen dan juga untuk makluman PHB telah mencatatkan peningkatan dari segi keuntungan kasar dan keuntungan operasi bagi tahun kewangan 2022 dan 2023 masing-masing sebanyak lebih RM317 juta.

“Kita melihat prestasi kewangan PHB yang baik sebab PHB telah melaksanakan inisiatif transformasi syarikat yang menjadi asas kepada pertumbuhan jangka masa panjang dan kelestarian perniagaan.

“Sebab itu imbuhan dibayar, bukan disebabkan bonus dan sebagainya tapi disebabkan pencapaian apa yang mereka sudah laksanakan,” jelasnya ketika sesi penggulungan untuk Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air bagi Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025, di Dewan Rakyat, hari ini.

Katanya, Jemaah Menteri sebelum ini menetapkan pengauditan bebas dijalankan ke atas syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) bagi mengetahui kedudukan dan prestasi kewangan masing-masing.

“Tetapi dasar baharu sekarang ini seperti mana yang diputuskan Kabinet semua GLC, GLIC akan dilihat dan kena kemukakan untuk masa depan mengenai bonus, imbuhan lawatan semua kena melalui proses tersebut. Sebab itulah auditor sekarang dibenarkan masuk ke GLC,” katanya.

Sementara itu, Fadillah berkata, tidak ada retreat ke luar negara yang dilakukan oleh pengurusan PHB.

Selain itu, Fadillah menafikan Ketua Pegawai Eksekutif PHB menaja sebuah makan malam yang diadakan pada 17 Febuari lalu.

Sebaliknya beliau berkata, makan malam tersebut diadakan bertujuan untuk memasarkan unit amanah saham Bumiputera.

“Untuk lawatan luar negara memang tidak ada, mereka tidak pergi sebenarnya, tidak ada retreat ke luar negara sekalipun.

“Untuk malam itu sahaja mereka dapat menjual RM500,000 saham yang dibeli oleh alumni,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan digesa menyiasat isu tatakelola melibatkan PHB termasuk Ketua Pegawai Eksekutifnya yang diberikan bayaran khas berjumlah RM210,000 ketika syarikat itu hanya mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) 42 peratus.

Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, syarikat tersebut turut merancang menaja percutian mewah ke luar negara kepada 200 orang pekerjanya.

Bagaimanapun katanya, rancangan tersebut telah dibatalkan selepas mendakwa pendedahan berkenaan tular di media sosial dan menjadi perbincangan hangat pelbagai pihak. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here