JDT menang 3-0 menewaskan Ulsan HD FC dalam aksi kumpulan zon timur Liga Juara-juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi.

ISKANDAR PUTERI – Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio gembira dengan prestasi dan komitmen ditunjukkan anak buahnya ketika menewaskan juara Liga K1, Ulsan HD FC 3-0 dalam aksi Liga Juara-juara Asia Elit (ACLE), malam tadi.

Kemenangan tersebut membolehkan Harimau Selatan mendaki ke posisi ketiga Zon Timur ACLE dengan mengutip 10 mata daripada empat perlawanan, hanya tiga mata di belakang pendahulu kumpulan, Vissel Kobe dari Jepun.

Jelas pengendali berusia 56 tahun itu, kejayaan tersebut bukan mudah dalam menundukkan juara tiga kali berturut-turut Liga K1 itu tetapi anak buahnya berjaya melakukannya.

“Ini adalah hasil kesungguhan pemain yang sentiasa mahu menguasai permainan dan melakukan tekanan tinggi terhadap lawan.

“Pujian juga perlu diberikan kepada gandingan benteng pertahanan iaitu Eddy Israfilov, Park Jun Heong dan Shane Lowry yang berjaya menutup ruang buat Ulsan HD daripada melakukan sentuhan penyudah,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas perlawanan tersebut di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, malam tadi.

Dalam pada itu, pemain paling berharga musim lalu, Arif Aiman Hanapi terus menyinar apabila menambah rekod jaringan dalam kejohanan tertinggi peringkat Asia itu.

Katanya, ini merupakan tugas paling penting yang dilakukan bagi membalas kepercayaan ketua jurulatih terhadapnya yang kini sudah meledak empat gol dalam empat perlawanan.

“Bukan mudah beraksi di peringkat tertinggi ini apatah lagi untuk menjaringkan gol, jadi setiap peluang terhidang itu perlu dimanfaatkan sebaiknya. Jaringan pertama itu membantu pasukan untuk beraksi dengan lebih baik,” katanya.

Sementara itu, Bergson Da Silva yang meledak gol pertamanya dalam siangan ACLE tampak beremosi setelah berjaya membantu pasukan untuk meraih tiga mata di laman sendiri.

“Saya gembira kerana mampu memberi sumbangan kepada pasukan untuk meraih kemenangan lebih-lebih lagi dihadapi puluhan ribu penyokong JDT, kini pasukan berada di landasan terbaik untuk meloloskan diri ke pusingan seterusnya,” ujarnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here