Fadillah Yusof

KUALA UMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof terbuka sekiranya terdapat Ahli Parlimen pembangkang secara individu mahu berbincang mengenai memorandum persefahaman (MoU) peruntukan mereka.

Bagaimanapun beliau berkata, Ahli Parlimen pembangkang secara berkumpulan sudah pun membuat keputusan untuk menolak MoU itu.

“Kalau ada di kalangan individu, Ahli Parlimen yang nak berbincang dengan saya di sebelah sana, saya terbuka. Tetapi secara kelompok saya boleh katakan sudah pun menolak daripada keputusan pihak parti sendiri jadi saya tidak dapat buat apa-apa.

“Sebab tugas saya berunding, kalau tidak mahu berunding. Saya hanya boleh berunding dengan yang mahu berunding,” katanya pada penggulungan bagi Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air bagi Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025, di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Fadillah, hanya Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abd Rahman melakukan maklum balas berhubung rundingan MoU terbabit.

“Insya-Allah saya akan memanggil Muar nanti untuk respon balik kepada apa yang telah dikemukakannya,” jelasnya.

Pembangkang sebelum ini sebulat suara menolak MoU itu atas empat sebab utama iaitu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, di mana beberapa syarat dikenakan dalam dokumen dikhuatiri boleh menjejaskan hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera.

Pembangkang turut menyifatkan MoU itu bertentangan dengan nilai budaya, moral dan agama kerana drafnya mengandungi syarat-syarat yang dilihat bertentangan dengan nilai tradisi, budaya, moral agama serta tempatan.

Sehari kemudian, Fadillah tampil mendedahkan terdapat dua draf dokumen yang masih menjadi kontroversi.

Berdasarkan dokumen yang didedahkan itu, enam intipati tersebut antaranya tempoh kuat kuasa dari tarikh MoU dan terpakai sehingga pembubaran Parlimen ke-15 atau pada 19 Disember 2027.

Turut terkandung dalam intipati tersebut ialah obligasi PN yang menyentuh peranan dan fungsi ahli Parlimen pembangkang sebagai komponen penting dan akujanji sebagai wakil rakyat berwibawa, perlu bertindak sebagai komponen semak dan imbang yang bertanggungjawab dan membina. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast