JOHOR BAHRU – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menahan 75 warga asing dalam beberapa operasi di kawasan hospot sekitar daerah ini dari Ahad sehingga semalam.
Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, operasi pertama dilakukan sekitar Pasir Gudang dan Desa Cemerlang dari pukul 12 tengah hari Ahad hingga 1.30 petang Isnin.
Jelas beliau, menerusi Ops Selera, Ops Dandan, Ops Belanja dan Ops Kutip itu sebanyak 28 buah restoran dan medan selera diserbu iaitu kawasan hospot warga asing bekerja.
“Menurusi operasi penguatkuasaan yang dijalankan sepasukan pegawai Bahagian Penguatkuasa JIM Johor, seramai 133 warga asing dan warga tempatan diperiksa.
“Daripada jumah itu 68 warga asing ditahan melibatkan 10 lelaki dan tujuh wanita warga Myanmar, 19 lelaki dan 26 wanita Indonesia, tiga lelaki Bangladesh, dua lelaki India dan seorang lelaki Nepal.
“Mereka yang ditahan berusia antara 18 tahun hingga 58 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, menerusi operasi tersebut sebanyak 13 notis hadir ke pejabat telah dikeluarkan JIM bagi membantu siasatan.
Semua tahanan katanya, ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika di sini untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Sementara menerusi Ops Bersama di sekitar Iskandar Puteri pada pukul 5.30 petang semalam, beliau memberitahu, seramai enam lelaki dan seorang wanita asing ditahan.
Katanya, operasi itu dijalankan secara bersepadu dengan Bahagian Penguatkuasa JIM Johor, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Seramai 133 orang warga asing dan warga tempatan diperiksa. Mereka yang ditahan melibatkan 10 lelaki dan tujuh wanita Myanmar, 19 lelaki dan 26 wanita Indonesia, tiga lelaki Bangladesh, dua lelaki India dan seorang lelaki Nepal masing-masing berumur antara 18 hingga 58 tahun,” katanya.
Menurut Mohd Rusdi, semua operasi berkenaan dilakukan selepas mengesan terdapat warga asing bekerja tanpa dan permit sah serta tidak memiliki perjalanan yang sah.
Tambahnya, semua warga asing terbabit melakukan kesalahan bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia.
“Mereka juga melakukan kesalahan bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tinggal lebih masa dan Peraturan 17(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana tidak mematuhi apa-apa arahan yang diendorskan atas pas serta Peraturan 11(7)(a) Peraturan-Peraturan Imigresen iaitu salah guna Pas Lawatan Sosial,” ujarnya.- MalaysiaGazette