Mohamad Fazli (dua kiri) bersama tetamu kenamaan selepas Majlis Pelancaran Perkhidmatan Bas Causeway Link Country Garden Danga Bay-JB Sentral di Iskandar Puteri, hari ini.

ISKANDAR PUTERI – Laluan ketiga pejalan kaki untuk memasuki Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini masih belum dibuka atas faktor keselamatan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, kerajaan negeri masih menunggu kebenaran Kerajaan Pusat untuk membuka semula laluan tersebut.

“Perbincangan mengenai perkara itu masih berjalan dengan pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi mempertimbangkan semula pembukaan laluan ketiga itu.

“Kita dah bawa cadangan ke mesyuarat jawatankuasa khas Kabinet bagi menangani kesesakan dan kita dapat banyak maklumat bahawa antara isu yang menjadi cabaran utama adalah keselamatan.

“Jadi, kita masih lagi berbincang dengan KDN dan cadangan supaya laluan itu jadi laluan ketiga untuk masuk ke CIQ masih diteruskan, harapnya dalam masa beberapa bulan akan dapat selesai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Perkhidmatan Bas Causeway Link Country Garden Danga Bay – JB Sentral di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Presiden Country Garden Pacificview Sdn Bhd, Ir Syarul Izam Sarifudin; Pegawai Perhubungan Awam, Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PPAJ), Afiqah Ali dan Timbalan Pengarah Eksekutif, Handal Indah Sdn Bhd, Lim Chern Fang.

Laluan tersebut yang sebelum ini digunakan oleh para pejalan kaki untuk memasuki bangunan pusat pemeriksaan itu, ditutup semasa pandemik Covid-19.

Mengulas lanjut, Mohamad Fazli berkata, pada ketika ini dalam peringkat penilaian pelaksanaan Proof of Concept (POC) kod QR bagi laluan bas sama ada mampu menjimatkan masa.

Jelas beliau, ini kerana majoriti mereka yang berjalan kaki di laluan ketiga itu menggunakan perkhidmatan bas.

“Sebab itu, kita masih berharap laluan ketiga itu dibuka semula, cumanya kita ada kekangan faktor keselamatan, maknanya agensi yang menjaga keselamatan itu belum setuju buat masa ini,” ujarnya.

Beliau berkata, sekiranya penggunaan kaedah kod QR bagi perkhidmatan bas itu menunjukkan prestasi yang baik, ia akan diperluaskan ke laluan kereta dan lori.

“Sekarang kita sedang buat POC kod QR di laluan bas dan motosikal, jadi kita nak tengok prestasi kod QR ini dulu, kalau ia lebih laju, sebenarnya ia tidak jadi masalah.

“POC kod QR ini akan tamat bulan ini dan saya dah pun berhubung dengan KDN serta Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) supaya POC ini akan diperluaskan ke laluan kereta dan lori kerana sekarang hanya bas dan motosikal sahaja,” ujarnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here