KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri menekankan kepentingan Malaysia berusaha menduduki tangga 25 ke atas dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dunia sejajar dengan Strategi Pemberantasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028.
Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, bagi membuktikan kerajaan bersungguh-sungguh untuk meningkatkan integriti dan tata kelola negara, kerajaan baru-baru ini telah menubuhkan Pasukan Petugas Khas CPI bagi merealisasikan sasaran mencapai tempat ke-25 dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dalam jangka masa 10 tahun.
Fadillah berkata demikian dalam ucaptama semasa merasmikan Majlis Perasmian Sambutan Bulan Integriti Nasional 2024 di MATRADE Kuala Lumpur semalam.
Pasukan Petugas Khas CPI dianggotai oleh barisan Ketua Setiausaha Kementerian yang berkaitan, jabatan dan agensi kerajaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) dan Institut Integriti Malaysia (IIM) serta turut dianggotai oleh barisan pakar.
“Sebagai sebuah institusi yang telah lama mendukung prinsip-prinsip integriti, IIM perlu terus memainkan peranan utama dalam melaksanakan dasar-dasar kerajaan khususnya dalam konteks pembaharuan tadbir urus, pencegahan rasuah, dan peningkatan akauntabiliti dalam semua sektor,” tambah Fadillah.
Majlis Perasmian Sambutan Bulan Integriti Nasional 2024 bertemakan ‘Teguh Integriti, Kukuh Pertiwi’ bagi mengangkat martabat pertiwi atau tanah air melalui pembaharuan komitmen terhadap pembudayaan integriti, tata kelola serta tadbir urus yang baik, dalam usaha memastikan Malaysia dikenali sebagai negara berintegriti tinggi dan bebas rasuah.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif IIM, Rahman Mohd Din pula berkata, penganjuran program seperti itu selari dengan hasrat Kerajaan MADANI yang sentiasa mengutamakan integriti dan tata kelola yang baik.
“Tahun ini sambutan menjadi lebih bermakna kerana kita juga menyambut Ulang Tahun Penubuhan ke-20 IIM. Setelah dua dekad berkhidmat, IIM terus komited dalam memperkukuh nilai-nilai integriti di negara kita.”
”Berlandaskan pengalaman selama 20 tahun, IIM kini melangkah ke era baharu dengan pengenalan Pelan Strategik IIM yang baharu dalam masa terdekat ini. Pelan ini bertujuan untuk membawa IIM ke satu tahap yang lebih tinggi dengan visi untuk menjadikan Malaysia sebagai negara yang diiktiraf sebagai negara berintegriti tinggi di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya.
Majlis Perasmian Sambutan Bulan Integriti Nasional dimeriahkan dengan penganjuran forum bersama barisan panel kenamaan yang terdiri daripada Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Dr. Juanda Jaya, Pengarah IJM Corporation Berhad, Datuk Dr. Ir Ahmad ’Asri dan Prof Adjung Universiti Multimedia, Prof. Dr. Soo Wincci.
Acara pembacaan Ikrar Integriti yang diketuai para penguat kuasa dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) jugua diadakan.
Ikrar integriti merupakan sebuah wadah manifestasi masyarakat Malaysia MADANI yang dirangkumkan melalui tiga prinsip utama iaitu komitmen, pembudayaan dan aspirasi.
Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara IIM dan Commerce Dot Com, sebuah syarikat berkaitan kerajaan di bawah Kementerian Kewangan serta; Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) turut berlangsung sebagai salah satu tarikan majlis.
Dalam menyemarakkan lagi Bulan Integriti di samping meningkatkan kesedaran dan mempromosikan pembudayaan integriti, tata kelola dan tadbir urus yang baik di peringkat nasional secara berterusan, IIM akan melaksanakan pelbagai aktiviti-aktiviti menarik.
Ia termasuk Pertandingan Teater Runcit Integriti (25 hingga 27 Oktober), Forum Perdana Ehwal Islam (7 November), Khutbah Jumaat Bulan Integriti Nasional (bermula 8 November), Konvensyen Nasional Sistem Integriti Korporat (21 November), Malam Appresiasi 2 Dekad IIM (28 November), serta pameran IIM bersama sektor awam dan swasta (sepanjang bulan November). – MalaysiaGazette