DALAM pembentangan Belanjawan 2025, Kerajaan Malaysia telah meluluskan pelanjutan projek Lebuhraya Pantai Barat (WCE) dari Banting, Selangor hingga ke Gelang Patah, Johor. Ini adalah salah satu langkah penting bagi memperbaiki rangkaian pengangkutan di Semenanjung Malaysia, khususnya di bahagian pantai barat.
Dalam masa yang sama, projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) yang dirancang untuk menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura masih menjadi topik hangat, terutama mengenai kos pembinaanya yang tinggi. Kos yang tinggi ini boleh dikurangkan jika kerajaan memanfaatkan tanah yang bakal diperoleh untuk projek Lanjutan WCE bagi merealisasikan pembinaan HSR yang dijangka membawa banyak manfaat kepada ekonomi negara. Ini boleh dilaksanakan kerana jajaran Lanjutan WCE akan merentas Bandaraya Melaka, Muar dan Batu Pahat manakala cadangan jajaran HSR asal juga akan merentas bandar yang sama.
Pemerolehan tanah: Salah satu kos tertinggi
Kos pemerolehan tanah biasanya menjadi salah satu komponen terbesar dalam mana-mana projek infrastruktur mega, termasuk HSR. Kerajaan perlu memperoleh tanah
daripada pemilik persendirian atau syarikat, yang selalunya melibatkan perundingan panjang dan pampasan yang tinggi. Dengan mengambil kira harga tanah di kawasan
pembangunan yang pesat, terutama di kawasan bandar dan pinggir bandar, ini boleh menyebabkan kos meningkat dengan mendadak.
Namun, dengan pelanjutan WCE yang baru diluluskan, tanah untuk projek ini bakal diperoleh sepanjang jajaran Banting ke Gelang Patah. Ini membuka peluang kepada
kerajaan untuk mengintegrasikan laluan HSR di sepanjang jajaran Lanjutan WCE ini menjadikan ia satu koridor pengangkutan di selatan Semenanjung Malaysia. Dengan
cara ini kerajaan dapat memanfaatkan tanah yang sama untuk dua projek infrastruktur yang besar.
Penggunaan koridor pengangkutan berkongsi
Salah satu cara untuk mengurangkan kos projek HSR adalah dengan menggunakan konsep koridor pengangkutan berkongsi. Lebuhraya WCE dan laluan HSR boleh dibina
bersebelahan atau pada jarak yang sesuai untuk meminimakan gangguan kepada kedua-dua projek. Ini bukan sahaja mengurangkan kos pemerolehan tanah, tetapi juga
mengoptimumkan penggunaan ruang. Dengan cara ini, kerajaan dapat menjimatkan wang yang sepatutnya digunakan untuk memperoleh tanah baharu bagi laluan HSR. Ini
juga mengurangkan keperluan untuk menebang hutan atau mengganggu kawasan perumahan yang sering menimbulkan bantahan daripada masyarakat tempatan.
Pengurangan kos pembinaan
Selain daripada penjimatan dari segi pemerolehan tanah, integrasi antara projek HSR dan WCE juga boleh membawa kepada penjimatan kos pembinaan. Dengan
merancang infrastruktur ini secara serentak, beberapa komponen seperti jambatan, terowong dan kemudahan sokongan lain boleh dikongsi atau dibina dalam satu fasa. Ini bukan sahaja menjimatkan masa, tetapi juga mengurangkan kos buruh dan bahan binaan. Sebagai contoh, pembinaan jambatan berkembar yang digunakan oleh kedua-dua
projek boleh mengurangkan jumlah bahan binaan yang diperlukan. Begitu juga, laluan terowong yang dikongsi boleh meminimakan gangguan terhadap alam sekitar dan
masyarakat tempatan.
Keberkesanan dari segi masa
Dengan memanfaatkan tanah yang diperolehi melalui projek WCE, masa yang diambil untuk perancangan dan pembinaan HSR juga dapat dipercepatkan. Ini kerana satu
proses pemerolehan tanah yang besar telahpun diselesaikan melalui pelaksanaan projek lebuh raya tersebut. Tanpa perlu menunggu proses pemerolehan tanah yang
baharu, projek HSR boleh bergerak dengan lebih pantas, sekali gus mengurangkan kos overhead yang berkaitan dengan tempoh pembinaan yang panjang.
Memastikan pembangunan yang lestari
Mengurangkan kos projek dengan memanfaatkan tanah yang telah diperoleh juga menyokong prinsip pembangunan lestari. Mengurangkan keperluan untuk membeli
lebih banyak tanah dan mengelakkan pencerobohan alam semula jadi akan membantu kerajaan mematuhi garis panduan pembangunan hijau. Ini seterusnya memberi kesan
positif kepada alam sekitar, serta imej negara di peringkat antarabangsa sebagai negara yang komited terhadap pembangunan mampan.
Kesimpulannya, dengan menggunakan pendekatan yang lebih strategik dalam merancang projek HSR, kerajaan boleh mengurangkan kos dengan memanfaatkan tanah yang diperoleh untuk projek Lanjutan WCE. Ini bukan sahaja menjimatkan kos pemerolehan tanah, tetapi juga memberi peluang untuk mempercepatkan proses pembinaan, mengurangkan kos pembinaan dan memastikan pembangunan yang lebih lestari. Melalui perancangan yang lebih teliti, kerajaan dapat merealisasikan projek HSR
dengan kos yang lebih rendah tanpa mengorbankan kualiti dan impak positif kepada rangkaian pengangkutan negara.
Mohamed IsmailĀ Pakir Mohamed
Pensyarah Kanan
Ketua Focus Group Manufacturing Technology Management
Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP)
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia