ISKANDAR PUTERI – Kerajaan negeri akan bertemu persatuan pengusaha teksi di Johor susulan keputusan kerajaan pusat menamatkan sepenuhnya perkhidmatan dan penggunaan tenaga gas asli (NGV) bermula 1 Julai tahun depan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, mesyuarat bersama persatuan-persatuan teksi itu dibuat hari ini.
“Kita akan jumpa persatuan teksi dan baru saya boleh tanya mereka berapa ramai terjejas dan sebagainya selain kita tengok respon pemandu teksi (terhadap keputusan itu),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Perkhidmatan Bas Causeway Link Country Garden Danga Bay-JB Sentral, di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Presiden Country Garden Pacificview (CGPV) Sdn Bhd, Ir Syarul Izam Sarifudin, Pegawai Perhubungan Awam, Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PPAJ) Afiqah Ali dan Timbalan Pengarah Eksekutif, Handal Indah Sdn Bhd, Lim Chern Fang.
Mohamad Fazli berkata, selepas mesyuarat itu, kerajaan negeri akan mempertimbangkan bantuan yang boleh disalurkan kepada pengusaha perkhidmatan teksi yang terjejas.
“Kita akan tengok juga apa insentif kerajaan Pusat dan kalau ia tidak cukup dan tidak menyeluruh, kerajaan negeri akan bantu,” jelasnya.
Kelmarin, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dilaporkan berkata, kerajaan akan menamatkan sepenuhnya perkhidmatan dan penggunaan NGV di negara ini bermula 1 Julai 2025 atas dasar keselamatan kepada pengguna dan orang ramai.
Beliau dipetik berkata, kenderaan motor yang dikuasakan dengan bahan api NGV tidak lagi dibenarkan untuk didaftar atau dilesenkan untuk kegunaan di atas jalan raya.
Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 2 Oktober lalu berkaitan dengan hala tuju penggunaan bahan api gas asli mampat atau NGV bagi kenderaan motor di Malaysia.
Sementara itu, Mohamad Fazli melancarkan perkhidmatan bas Causeway Link dari Country Garden Danga Bay ke JB Sentral yang dijangka digunakan oleh lebih 3,000 pengguna sehari.
Beliau berkata, ia merupakan inisiatif antara CGPV dan Handal Indah yang direalisasikan selepas cadangan yang dibuat dalam usaha menangani masalah kemalangan dan kesesakan dibawa ke mesyuarat jawatankuasa khas Kabinet bagi menangani kesesakan.
“PPAJ ada bertemu dengan semua pihak untuk cari jalan wujudkan ‘park and ride’ terutamanya di kawasan ini (Country Garden, Danga Bay) yang mana hanya mengambil masa 15 minit perjalanan.
“Difahamkan, ada 10,000 lot letak kereta disediakan. Kita cadangkan pada kerajaan Pusat dan mereka tanya kita balik apa yang kita boleh buat, jadi hari ini sudah pun terlaksana satu inisiatif untuk tangani kesesakan di bandar raya ini,” katanya.
Menurut beliau, mengikut cadangan awal, perkhidmatan bas itu beroperasi seawal pukul 4 pagi hingga 11 malam dan kekerapan perjalanan setiap satu jam.
“Untuk sekarang, ia beroperasi dari pukul 7 pagi hingga 7 malam dahulu. Kita minta supaya pada awal pagi, kekerapan perjalanan diperbanyakkan kerana fokus kita adalah untuk memudahkan mereka yang pergi kerja khususnya di Singapura,” ujarnya. – MalaysiaGazette