SUMBER syariat hanya dua iaitu al-Quran dan Hadis. Qias dan ijmak sandarannya juga al-Quran dan Hadis. Jadi syariat telah sempurna.
Mimpi, kasyaf, ilham dan lintasan hati walaupun datang dari seorang wali Allah, ia tidak boleh dijadikan dalil syarak. Apatah lagi jika ianya bercanggah dengan nas al-Quran dan Hadis.
Mimpi para Nabi adalah wahyu. Tetapi mimpi selain para Nabi ada pelbagai kategori. Ada mimpi yang benar dan ada sekadar igauan kesan aktiviti di siang hari.
Ada juga sekadar mainan syaitan. Susah untuk membezakan antara ketiganya.
Bertemu Rasulullah S.A.W di dalam mimpi boleh berlaku dan ia bertepatan (thabit) dengan Hadis.
Syaitan tidak boleh menyerupai Nabi SAW di dalam mimpi, tetapi dia boleh menjelma sebagai orang Arab bahkan orang Quraisy juga. Hanya sahabat R.A yang boleh tentukan bahawa yang ditemui di dalam mimpi adalah benar-benar Nabi SAW kerana mereka yang pernah melihat secara berdepan ketika hidup.
Jika ada seseorang mendakwa bertemu Nabi SAW, jangan dustakan, tetapi jangan jadikan mimpi itu sebagai dalil untuk menguatkan apa-apa hujah.
Kita sebagai umat Nabi SAW sepatutnya sentiasa berharap dapat bertemu Nabi SAW di dalam mimpi. Ia adalah anugerah dan petunjuk baik. Jika ingin berkongsi, buatlah dalam lingkungan yang kecil supaya tidak membawa kepada salah faham masyarakat umum.
Wallahu a’lam
Muhammad Fauzi Asmuni
Perunding Kanan Perhubungan Antarabangsa ISMA