Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) telah mengadakan prosiding mengenai Komitmen Pemulangan Aset 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Dan Jaminan Pembiayaan Hutang, 1MDB pada Isnin lalu.

Pengerusinya Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, ketika prosidig Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP), Datuk Johan Mahmood dan Ketua Pasukan Petugas 1MDB, Datuk Seri Johari Abdul Ghani telah memberi keterangan.

Jelas beliau, semasa prosiding yang berlangsung selama dua jam itu PAC mendengar usaha kerajaan untuk mendapatkan aset-aset dan pembiayaan hutang 1MDB berjumlah RM9.456 bilion.

“PAC telah menggunakan punca kuasa Peraturan Mesyuarat (PM) 77 (1)(c), Arahan Perbendaharaan (AP) (Pindaan 2023) 301 dan 304 (a) serta Seksyen 5(3)(d) Pekeliling Am Bilangan 1 Tahun 2024: Organisasi Kementerian-Kementerian bagi membincangkan kedua-dua isu tersebut,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Menurut Mas Ermieyati, dua bekas Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Lim Guan Eng akan dipanggil memberi keterangan dalam prosidingnya seterusnya pada minggu ketiga November.

“Turut akan dipannggil, YBhg. Dato’ Asri bin Hamidon, mantan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (2020 – 2023); dan firma guaman Rosli Dahalan Saravanan (RDS) Partnership untuk memberikan penjelasan berhubung usaha mendapatkan aset 1MDB semasa mereka berada dalam Jawatankuasa Khas 1MDB,” tambahnya.

Sementara itu, Mas Ermieyati memberitahu, PAC telah memulakan prosiding berhubung Pengurusan Akaun Belum Terima Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) semalam.

“PAC telah mendengar keterangan dan penjelasan daripada YBhg. Datuk Johan Mahmood Merican, Ketua Setiausaha, Perbendaharaan (KSP), Kementerian Kewangan (MOF) dan YBhg. Datuk Dr. Abu Tariq bin Jamaluddin, Ketua Pegawai Eksekutif LHDNM.

“Prosiding ini akan disambung semula pada minggu ketiga November 2024,” katanyi.

Tambah beliau, jawatankuasa itu hari ini turut membentangkan Laporan Tindakan Susulan Menteri Kewangan (Diperbadankan), Kementerian Kewangan Malaysia Dan Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah Bagi Syor-Syor Laporan PAC Parlimen Berhubung FELCRA Berhad.

“Manakala esok, PAC akan membentangkan Laporan berhubung Majlis Profesor Negara Di Bawah Jabatan Perdana Menteri setebal 278 muka surat. Prosiding ini telah diadakan pada 1 Ogos 2024,” beliau berkata. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast