Usahawan yang dilahirkan PUNB dan berjaya meneroka pasaran antarabangsa.

PUTRAJAYA – Tidak ada jalan pintas dalam melahirkan usahawan terutama bumiputera dalam industri automotif yang bukan sahaja berhadapan dengan persaingan hebat tetapi juga cabaran teknologi yang sentiasa berubah.

Hasil bimbingan dan sokongan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), tidak mustahil untuk syarikat terbabit berjaya bukan sahaja dalam negara tetapi mampu mengembangkan perniagaan di luar Malaysia

Syarikat seperti Bateriku Sdn Bhd (Bateriku), FTuned Suspension Sdn. Bhd. (FTuned) dan JV Autolube Sdn. Bhd. (JV Autolube) membuktikan mereka bukan sahaja mampu bersaing dalam dan luar negara malah membantu individu lain untuk menjadi usahawan.

Ketua Pembangunan Perniagaan Bateriku Sdn Bhd, Mohd Muhsin Ahmad Sabri bercakap pada media selepas majlis perasmian Auto Forum 2024 di Putra Hall B, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Foto AIZAT ZAINAL, 6 NOVEMBER 2024.

Ketua Pembangunan Perniagaan Bateriku Mohd Muhsin Ahmad Sabri misalnya berkata, syarikat berkaitan pemasangan bateri kenderaan itu bermula dengan hanya tujuh pekerja pada Mac 2014 kini mempunyai 400 kakitangan.

Bateriku katanya, mempunyai 200 pusat servis di Malaysia dan dua lagi di Indonesia, selain telah menubuhkan akademi bagi melahirkan lebih ramai usahawan dalam industri automotif.

“PUBN mempunyai sejarah dan rekod prestasi yang banyak membantu usahawan jadi kami akan membantu melahirkan usahawan yang lain.

“Akademi ini kita wujudkan sebab kita nak selaraskan standard servis kita seluruh Malaysia misalnya kalau orang tukar bateri di Kuala Lumpur dan rosak di Johor akan mendapat kepakaran yang sama.

“Akademi juga berperanan untuk membuka peluang latihan untuk bengkel-bengkel lain dan kita akan melancarkan beberapa program usahawan PUNB berkaiatan kenderaan elektrik, kenderaan elektrik berkuasa bateri dan hibrid.,” kata Mohd Muhsin.

Pengarah Operasi FTuned Suspension Sdn. Bhd. Nazatul Shima bercakap pada media selepas majlis perasmian Auto Forum 2024 di Putra Hall B, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Foto AIZAT ZAINAL, 6 NOVEMBER 2024.

Golongan wanita juga mampu untuk berjaya dalam bidang yang dikuasai lelaki seperti yang dibuktikan Pengasas yang juga Pengarah Operasi FTuned Suspension Sdn. Bhd, Nazatul Shima Mamat.

Syarikat yang mempunyai kepakaran dalam menghasilkan suspensi dan absober kenderaan itu mempunyai 180 pengedar dalam negara dan telah mengembangkan sayap di Indonesia, Thailand, Filipina serta India, menghargai bantuan yang diberikan oleh PUNB.

“PUNB ini banyak menolong usahawan, dalam industri automotif kita ada satu persatuan dipanggil Autopro yang bertindak sebagai ‘mentor menti’ kakak dengan abang. Jadi yang otai-otai itu banyak menolong usahawan baru.

“PUNB bukan sahaja beri pembiayaan tetapi juga motivasi, latihan dan yang paling penting menyediakan networking. Jadi kita bukan usahawan yang syok sendiri tetapi usahawan yang berkaitan dengan industri,” katanya.

Jelas beliau, produk yang dihasilkan menggunakan kepakaran tempatan setanding kuaiti produk antarabangsa namun dengan harga mampu milik selain disesuaikan dengan jalan raya dan cuaca tempatan.

Pengerusi JV Autolube Sdn Bhd, Mohamad Zaidi bercakap pada media selepas majlis perasmian Auto Forum 2024 di Putra Hall B, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Foto AIZAT ZAINAL, 6 NOVEMBER 2024.

Tidak kurang hebat syarikat pakar dalam sistem transmisi atau gear box, JV Autolube yang menghasilkan minyak pelincir kenderaan sesuai untuk kegunaan di Asia Tengara yang bercuaca panas dan lembab.

Pengasas dan Pengerusi JV Autolube Mohmd Zaidi berkata, produk keluarnya kini berada di Indonesia, Brunei dan Singapura.

“Setakat ini kakitangan kita ada lebih kurang dalam 100 orang sebahagian mereka dalam bidang pemasaran dan sebahagian dalam bidang teknikal.

“Kami dikenali sebagai pakar gear box, kerja harian kami membaik pulih dan kami ada rangkaian di seluruh Malaysia dan Brunei di mana kami menyediakan bengkel yang ada kepakaran dalam bidang baik pulih gear box,” katanya.

Jelasnya, syarikat itu mendapat bimbingan daripada PUNB sejak tahun 2008 dan telah membantu peniaga kecil menjadi usahawan besar dan berjaya.

Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, bergambar bersama tetamu yang hadir pada majlis perasmian Auto Forum 2024 di Putra Hall B, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Foto AIZAT ZAINAL, 6 NOVEMBER 2024.

Usahawan terbabit ditemui pada Auto Forum 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) yang dirasmikan Pengerusi PUNB, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani hari ini.

Auto Forum 2024 disertai lebih 500 pemain industri automotif untuk mendapatkan maklumat terkini tentang perkembangan dan peluang dalam sektor itu di Malaysia.

PUNB menyediakan peruntukan berjumlah RM300 juta untuk tahun depan bagi menyokong usahawan Bumiputera dalam pelbagai sektor.

Sejak penubuhan PUNB sehingga September lalu, badan itu telah meluluskan pembiayaan perniagaan berjumlah RM4.46 bilion kepada 10,168 syarikat.-MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast