Rusdi Mohd Isa

KUALA LUMPUR – Hasil siasatan kes buli dan dera melibatkan seorang pegawai kadet Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang akan dimuktamadkan pada Jumaat ini tiada kaitan dengan siasatan polis.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, siasatan dalaman UPNM berhubung tindakan displin dan undang-undang.

“Kita (polis) menjalankan siasatan yang berbeza dengan membuka kertas siasatan dibawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang mungkin akan melibatkan tindakan ke mahkamah.

“Mungkin dilaporkan (semalam) adalah siasatan dalaman pihak UPNM berkaitan tindakan displin sama ada keluar daripada program itu atau asrama, setiap universiti ada peraturan dan sistem,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau bersama Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri hadir meninjau Balai Polis Trafik Tun HS Lee bagi pelaksanaan Program Tawaran Semakan dan Bayaran Saman sehingga 50 peratus, hari ini.

Semalam, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memaklumkan, hasil siasatan berhubung kes buli dan dera pegawai kadet ALK-UPNM akan dimuktamadkan pada Jumaat ini.

Katanya, perkara itu akan dikendalikan lembaga siasatan terdiri daripada pihak polis dan ALK yang akan membentangkan cadangan garis panduan melibatkan disiplin.

Rusdi yang ditanya tentang kertas siasatan kes terbabit yang telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 5 November lalu berkata, pihaknya masih menunggu tindakan seterusnya daripada jabatan itu yang sedang menyemaknya.

“Kadang-kadang macam ini, keputusan itu (siasatan dalaman) boleh dipertimbangkan untuk siasatan polis, atau boleh dipisahkan.

“Kalau sudah ada keputusan akan dimaklumkan pada pihak AGC atau dibuat secara sidang akhbar dan pada masa sama kita akan maklumkan secara rasmi,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast