KUALA LUMPUR – Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bersara sebelum Januari 2013 akan menerima pelarasan pencen fasa pertama sebanyak lapan peratus, Disember ini berdasarkan gaji akhir pada 2012.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pelarasan pencen fasa kedua sebanyak tujuh peratus akan dilaksanakan pada awal tahun 2026
Menurut beliau, penyelarasan tersebut dibuat mengikut formula pencen yang terdapat di dalam Peraturan-Peraturan ATM Tetap 1982 susulan pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).
“Saya ingin mengambil peluang menyatakan sekalipun kes masih belum diputuskan oleh mahkamah rayuan, susulan SSPA yang diumumkan kerajaan kepada penjawat awam yang sedang berkhidmat, termasuk perkhidmatan ATM penyelarasan pencen kepada semua pesara termasuk veteran ATM juga akan dilaksanakan.
“Ini bermakna, bagi veteran yang bersara sebelum Januari 2013, pelarasan pencen fasa pertama akan dilaksanakan pada Disember 2024 berdasarkan gaji akhir bersamaan tahun 2012,” katanya Ketika menyampaikan penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 bagi Kementerian Pertahanan di Dewan Rakyat, hari ini.
Khalid berkata, hanya kerajaan Madani diketuai oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya menyelesaikan isu penyelarasan yang berlanjutan sekian lama itu.
“Terima kasih kepada Perdana Menterilah, kerajaan Madani sahaja yang selesaikan hal ini,” responnya kepada Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin (Perikatan Nasional) yang mengucapkan terima kasih kepadanya.
Sebelum ini media melaporkan seramai 50 pesara ATM antaranya berpangkat mejar, leftenen, staf sarjan dan prebet memfailkan saman itu pada 17 November 2022 menamakan kerajaan, Perdana Menteri, Menteri Kanan Pertahanan Malaysia dan Majlis Angkatan Tentera sebagai defendan.
Menerusi saman itu, plaintif memohon pengisytiharan bahawa defendan telah memungkiri peruntukan di bawah Perkara 137 atau Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan dibaca bersama Seksyen 187 Akta Angkatan Tentera Malaysia 1972 dalam kegagalan masing-masing untuk melakukan penyelarasan pencen baharu untuk pesara ATM yang bersara sebelum 1 Januari 2013.
Mereka juga memohon pencen semua pesara ATM yang bersara sebelum 1 Januari 2013 diselaras mengikut kadar dan cara seperti pencen pesara ATM selepas 1 Januari 2013.-MalaysiaGazette