Seorang lelaki warga Bangladesh (kanan) berjaya diberkas pihak berkuasa selepas dipercayai menjadi ejen membekalkan minyak masak bersubsidi secara haram di warung dan kedai runcit tapak binaan sekitar Melaka sejak dua tahun lalu.

MELAKA – Seorang lelaki warga Bangladesh yang diburu pihak berkuasa selepas dipercayai menjadi ejen membekalkan minyak masak bersubsidi secara haram di warung dan kedai runcit tapak binaan sekitar negeri ini sejak dua tahun lalu berjaya diberkas hari ini.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka Norena Jaafar berkata, suspek lelaki berusia 30-an sebelum itu ditahan dalam satu serbuan bersama sepasukan pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Melaka menerusi Ops Bersepadu Kita Gempur di Batu Berendam.

Menurutnya hasil soal siasat terhadap suspek kemudian membawa pihak berkuasa memasuki kawasan rumah kongsi didiami warga asing di sebuah kawasan perumahan yang sedang dalam pembinaan di Krubong.

Norena Jaafar

“Hasil pemeriksaan, kami menjumpai 80 peket minyak masak peket satu kilogram (kg) yang disembunyikan dalam kedai runcit untuk dijual kepada pekerja warga asing, selain digunakan di warung makan kawasan rumah kongsi berkenaan.

“Kita percaya, suspek yang masuk ke negara ini dengan permit sebagai pekerja pembersihan antara dalang terbesar terlibat dalam ketirisan minyak masak bersubsidi di Melaka sejak dua tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas operasi bersepadu selama lima jam itu dengan kekuatan seramai 20 pegawai dan anggota KPDN serta JIM Melaka yang diketuai Timbalan Penolong Pengarahnya, Mohd Hafizee Ramli.

Penguat kuasa KPDN memeriksa bekalan minyak masak peket yang dijual di kedai runcit rumah kongsi tapak projek perumahan di Krubong, Melaka

Mengulas lanjut, Norena berkata, suspek Bangladesh berkenaan sebelum ini diburu pihaknya apabila disyaki terlibat dalam penyelewengan minyak masak peket yang menjadikan ladang kelapa sawit sebagai hab pengagihan bekalan melibatkan sekurang-kurangnya empat kawasan tapak binaan.

“Selepas dapat bekalan dari pemborong, dia yang menjadi ejen akan pergi kedai runcit atau peniaga makanan di rumah kongsi tapak bina untuk jual antara lima hingga 10 kotak bersamaan 85 hingga 170 peket.

“Kita juga sedang menyiasat siapakah pemborong yang membekalkan minyak masak kepada warga Bangladesh ini yang mana kita percaya kesalahan ini sudah dilakukan lebih dua tahun,” jelasnya lagi.

Bekalan minyak masak bersubsidi yang dirampas dalam stor sebuah rumah di Kampung Pengkalan Rama Pantai, Melaka, hari ini.

Tambah Norena, dalam dua lagi serbuan di sebuah rumah di Malim dan Kampung Pengkalan Rama Pantai, pihaknya berjaya merampas 459 kg minyak masak peket yang disembunyikan di bawah tangga dan stor kediaman.

“Kedua-duanya pemilik rumah mendakwa, bekalan itu digunakan untuk masakan berniaga di pasar malam namun gagal mengemukakan permit menyimpan kawalan berjadual di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Keseluruhannya, kita dalam semua empat lokasi, KPDN dan JIM Melaka berjaya menyelamatkan lebih 560 kilogram minyak masak dianggarkan bernilai RM1,553.40,” katanya.

Dalam operasi sama JIM Melaka berjaya menahan enam warga asing berusia antara 30-an hingga 40-an yang disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast