JOHOR BAHRU – Seorang penunggang maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas di Jalan Kempas Lama-Selong, di sini, tengah malam tadi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superitendan Azrol Anuar Nor berkata, kemalangan berlaku pukul 12.05 pagi melibatkan sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC.
Beliau memberitahu, semasa kejadian motosikal mangsa datang dari Setia Tropika menuju ke Senai.
“Ketika sampai di lokasi motosikal ditunggang lelaki warga tempatan berusia 58 tahun itu dipercayai hilang kawalan.
“Keadaan itu menyebabkan motosikal tersebut terbabas dan jatuh ke bahagian tengah jalan raya,” katanya dalam satu kenyataan.
Akibat kata beliau, lelaki tersebut cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Katanya, kes disiasat bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau berbahaya.
Pihak polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu supaya menyalurkannya kepada Pegawai Penyiasat iaitu Inspektor Muhammad Hafiz Aminuddin menerusi talian 011-35807871. – MalaysiaGazette