Rusdi Mohd Isa

KUALA LUMPUR – Polis Kuala Lumpur belum menerima laporan kehilangan beg berisi wang tunai sebanyak RM1 juta di Ampang, Selangor, semalam.

Bagaimanapun, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pihaknya sedia membantu siasatan dengan menyalurkan maklumat sekiranya diperlukan Polis Selangor.

“Pada masa ini, tiada lagi laporan daripada pihak terbabit tapi kita sedia menyalurkan sebarang maklumat yang diterima kepada Polis Selangor bagi membantu siasatan.

“Pasukan Polis Kuala Lumpur dan Selangor sentiasa membantu siasatan pelbagai kes kerana faktor lokaliti,” katanya selepas Program Tawaran Semakan dan Bayaran Saman sehingga 50 peratus, di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan, wang tunai sebanyak RM1 juta yang diisi di dalam beg hilang dalam kejadian di Ampang Point, Ampang.

Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, wang itu dipercayai hilang selepas proses kutipan oleh sebuah syarikat keselamatan dari sebuah bank.

Susulan itu katanya, kertas siasatan dibuka bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, tular di media sosial memaparkan kejadian berkenaan ketika pemandu van syarikat keselamatan menyedari pintu van terbuka.

Individu berkenaan membuat pemeriksaan dan mendapati sebuah beg berisi wang tunai tiada, dipercayai terjatuh. – MalaysiaGazette

Polis siasat kehilangan beg berisi wang RM1 juta dari van syarikat keselamatan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast