Razal melakukan gimik Pelancaran Website MyAlumni Digital Wall Of Fame sambil disaksikan Noorazizah.

MELAKA – Pelancaran laman web, MyAlumni Digital Wall Of Fame oleh Kolej Komuniti dapat membangunkan dan memperkukuhkan hubungan antara institusi dan alma mater atau individu pernah mendapat pendidikan di situ.

Timbalan Pengerusi Pengarah-Pengarah POLYCC Zon Melaka dan Negeri Sembilan, Razali Bakri berkata, inisiatif strategik antara
Kolej Komuniti Melaka dan Negeri Sembilan itu juga menjadi platform interaktif membolehkan alumni berhubung, berkongsi pengalaman, dan menyumbang kepada pembangunan institusi.

Menurutnya, sebanyak 11 institusi berkenaan bergabung usaha di bawah kelolaan Pegawai Perhubungan Industri dan Alumni untuk meningkatkan hubungan alumni dan menyediakan platform efektif untuk penglibatan alumni.

“Direktori ini merupakan satu bentuk pengiktirafan dan penghormatan kepada alumni yang telah melalui perjalanan pendidikan di Kolej Komuniti dan kini menjadi contoh kepada generasi seterusnya.

“Ia juga sebagai lambang motivasi dan dorongan kepada pelajar-pelajar kita yang sedang menimba ilmu dan kemahiran, supaya mereka lebih yakin untuk mencapai kejayaan seperti para alumni kita,” katanya.

Beliau yang juga Pengarah Kolej Komuniti Masjid Tanah berkata demikian selepas melancarkan MyAlumni Digital Wall Of Fame di Kolej Komuniti Kota Melaka, di sini.

Hadir sama Pengarah Kolej Komuniti Kota Melaka, Noorazizah Abu serta semua Pengarah- Pengarah POLYCC Zon Melaka dan Negeri Sembilan.

Mengulas lanjut Razali berkata, MyAlumni Digital Wall Of Fame adalah langkah ke hadapan dalam memperkukuhkan jaringan komuniti yang lebih inklusif dan berdaya saing.

“Saya menyeru kepada semua agar terus berusaha membangunkan sebuah komuniti alumni Kolej Komuniti yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik dan kemahiran, tetapi juga menjadi peneraju dalam pembangunan modal insan yang berkualiti.

“Ini membuktikan bahawa pendidikan dan latihan kita telah berjaya membina asas yang kukuh untuk melahirkan tenaga kerja mahir dan profesional yang dapat menyumbang kepada ekonomi dan pembangunan negara,” katanya.

Laman web direktori berkenaan boleh dilayari di htpp//:kkmn9-myalumnidigital.mpolycc.edu.my. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast