KUALA LUMPUR – Sektor Perdagangan borong & runcit Malaysia menunjukkan trend peningkatan yang stabil pada bulan September 2024 dengan nilai jualan  mencapai RM148.2 bilion,  peningkatan tahunan sebanyak 3.8 peratus, walaupun kadar pertumbuhan sedikit perlahan berbanding bulan-bulan sebelumnya.

Jabatan Perangkaan Malaysia berkata, pertumbuhan 3.8 peratus ini didorong terutamanya oleh perdagangan borong dan perdagangan runcit, manakala subsektor kenderaan bermotor mengalami penurunan.

Perdagangan borong menyumbang RM66.5 bilion kepada jualan sektor ini, meningkat sebanyak 3.6 peratus.

Pertumbuhan ini disokong terutamanya oleh permintaan kukuh dalam jualan borong barang isi rumah dan jualan borong makanan, minuman & tembakau, kedua-duanya mencatatkan peningkatan 7.9 peratus.

Walau bagaimanapun, terdapat penurunan ketara sebanyak -2.6 peratus dalam kategori lain-lain pengkhususan jualan borong.

Tambahnya, perdagangan runcit, dengan jumlah nilai jualan sebanyak RM64.4 bilion, terus menunjukkan ketahanan dengan pertumbuhan sebanyak 5.5 peratus.

Pemacu utama dalam subsektor ini adalah Jualan runcit di kedai bukan pengkhususan yang meningkat sebanyak 6.2 peratus, serta jualan runcit di kedai pengkhususan dan Jualan runcit barang barangan isi rumah, yang masing-masing mencatatkan peningkatan sebanyak 5.7 peratus dan 3.8 peratus.

Permintaan berterusan dalam perbelanjaan isi rumah ini menunjukkan keyakinan pengguna yang tinggi dan persekitaran ekonomi yang stabil.

Ujarnya, subsektor kenderaan bermotor mencatatkan penyusutan sederhana sebanyak 1.0 peratus dalam jualan, berjumlah RM17.3 bilion, khususnya Jualan kenderaan bermotor mengalami penurunan yang lebih ketara sebanyak 10.3 peratus.

Penurunan ini mungkin sebahagiannya dipengaruhi oleh peraturan baru yang diperkenalkan pada bulan Ogos, yang melaraskan syarat pembiayaan dan boleh mendorong pengguna untuk menilai semula keputusan pembelian mereka ketika mereka menyesuaikan diri dengan terma pinjaman yang dikemas kini.

Walaupun begitu, subsektor ini menunjukkan ketahanan, dengan penyelenggaraan & pembaikan mencatatkan kadar pertumbuhan kukuh sebanyak 8.7 peratus.

Apabila pengguna semakin menyesuaikan diri dengan keadaan baharu ini, pasaran mungkin menyaksikan penstabilan atau pemulihan dalam jualan kenderaan dari semasa ke semasa, kata Jabatan Perangkaan lagi.

Perdagangan borong & runcit Malaysia mencatatkan pertumbuhan 3.8 peratus pada bulan September 2024, mencapai RM148.2 billion dalam nilai jualan.

Prestasi kukuh subsektor perdagangan borong & runcit pada bulan September disokong oleh beberapa faktor luaran. Malaysia mencatatkan peningkatan sebanyak 9.0 peratus dalam ketibaan pelancong sepanjang bulan tersebut, yang menyumbang secara positif kepada sektor ini.

Selain itu, cuti sekolah selama seminggu, sambutan Hari Malaysia, dan kejayaan penganjuran expo Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) turut menyokong prestasi keseluruhan sektor Perdagangan borong & runcit.

Bagi indeks jualan runcit melalui internet, indeks ini bertumbuh 3.0 peratus tahun ke tahun pada September 2024 berbanding 6.5 peratus pada Ogos 2024.

Bagi nilai pelarasan musim, indeks ini merosot -2.9 peratus berbanding bulan sebelumnya.

Setelah menolak kesan perubahan harga, indeks volum perdagangan borong & runcit bagi September 2024 mencatatkan pertumbuhan tahunan sebanyak 3.5 peratus.

Pertumbuhan ini disumbangkan oleh perdagangan borong dan perdagangan runcit yang masing-masing mencatatkan 4.8 peratus dan 3.8 peratus.

Sebaliknya, kenderaan bermotor menurun sebanyak -2.4 peratus pada bulan ini.

Bagi indeks volum pelarasan musim, ia menunjukkan penurunan sebanyak -1.9 peratus berbanding bulan sebelumnya.

Secara keseluruhan, sektor perdagangan borong & runcit Malaysia terus menunjukkan prestasi yang stabil, didorong oleh keyakinan pengguna yang berterusan dan keadaan ekonomi yang stabil.

Ketahanan sektor ini, walaupun berdepan cabaran dalam beberapa subsektor, mencerminkan kekuatan permintaan domestik dan keupayaan penyesuaian perniagaan.

Dengan pertumbuhan berterusan dalam bidang utama seperti jualan perdagangan runcit dan perdagangan borong, sektor ini dilihat bersedia untuk mendepani sebarang cabaran jangka pendek.

Selain itu, perbelanjaan pengguna yang kukuh dan faktor luaran positif, termasuk pertumbuhan pelancongan dan kejayaan acara-acara kebangsaan, turut menyokong prestasi sektor ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here