Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR – Pemilihan U Mobile sebagai pelaksana rangkaian 5G kedua dibuat melalui proses tender dan bukan secara penganugerahan terus.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) membuat keputusan dan penilaian secara bebas tanpa pengaruh daripada menteri atau timbalan menteri.

“Saya nak betulkan salah guna perkataan dalam soalan, MCMC bukan beri lesen tapi peruntukan spektrum dan bukan kontrak tidak melibatkan dana awam atau dana kerajaan.

“Pihak MCMC secara bebas, Menteri tidak terlibat, timbalan menteri tidak terlibat dalam sebarang proses penilaian ini. Maka mereka meneliti dan memastikan isu pegangan saham tidak lebih 49 peratus pegangan asing (yang) telah dipenuhi.

“U Mobile juga memaklumkan pegangan asing akan dikurangkan
Jadi sebagai aspek sama ada pegangan asing atau tempatan tidak melanggar isu-isu atau syarat bagi keputusan yang telah dibuat,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Fahmi berkata demikian menjawab soalan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim (Pakatan Harapan) yang menyatakan alasan pemberian lesen kepada U Mobile untuk melaksanakan rangkaian kedua 5G.

Beliau berkata, suruhanjaya itu melaksanakan penilaian terperinci dari aspek teknikal dan komersial bagi memilih pengendali rangkaian mudah alih mengikut kemampuan dan syarat yang ditetapkan.

Menurut beliau, U Mobile telah memberi komitmen untuk mengurangkan pegangan ekuiti asing kepada 20 peratus bagi memastikan kawalan yang lebih besar oleh rakyat Malaysia dan mengundang penyertaan daripada pelabur.

Tambahnya, U Mobile juga mempunyai rekod prestasi selama lebih daripada 17 tahun dan berada dalam kedudukan yang baik untuk pelaksanaan rangkaian 5G kedua Malaysia dan pernah dinamakan sebagai ‘Syarikat Perkhidmatan Mudah Alih Malaysia Terbaik’ oleh Frost & Sullivan sebanyak enam kali.

Terdahulu Fahmi berkata, antara lain faktor penilaian MCMC adalah rancangan perniagaan dan teknikal yang dikemukakan dan prestasi mereka dalam melaksanakan inisiatif infrastruktur lain.

“Ini termasuk faktor sumbangan kepada projek Penyediaan Perkhidmatan Sejagat (USP) seperti Jendela Fasa 1 dan
projek penaiktarafan 4G, yang selaras dengan komitmen MCMC untuk meningkatkan pengalaman pengguna dan kecemerlangan perkhidmatan,” jelasnya.

Katanya, MCMC akan memantau dengan teliti pelaksanaannya dan memastikan penguatkuasaan akan dilakukan terhadap sebarang ketidakpatuhan.

Pengumuman mengenai pemilihan U Mobile bagi melaksanakan rangkaian 5G kedua di negara ini mengundang reaksi daripada pengendali telekomunikasi yang beroperasi di Malaysia.

Maxis dilaporkan berkata, syarikat itu berhasrat menghubungi MCMC bagi memahami rasional keputusan berkaitan pengendali rangkaian 5G kedua negara yang diumumkan baru-baru ini.

Dalam kenyataannya, syarikat telekomunikasi itu berkata, ia mengambil maklum mengenai keputusan berkaitan usaha membina dan mengendalikan rangkaian yang juga komponen kritikal dalam infrastruktur komunikasi serta pelan pembangunan Malaysia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast