MELAKA – Seorang wanita cedera parah selepas dirempuh sebuah kereta yang terbabas ketika sedang membersihkan tanamannya di tepi jalan hadapan rumahnya di Taman Sutera Wangi, Batu Berendam, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.20 pagi itu, mangsa wanita berusia 38 tahun yang terperosok di bawah kereta patah tangan, kaki dan pinggul sebelum dikejarkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Melaka.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian berlaku apabila kereta jenis Toyota Yaris dipandu wanita berusia 29 tahun tiba-tiba hilang kawalan ketika melalui Jalan SW 29.
“Pemandu dipercayai mengalami sawan menyebabkan keretanya meluru ke arah mangsa yang ketika itu sedang berada di tepi jalan di hadapan rumahnya.
“Mangsa yang terperosok di bawah kenderaan itu kemudian ditarik keluar oleh orang awam ketika polis sampai sebelum dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Sementara itu, penduduk yang enggan dikenali berkata, pemandu berkenaan bukan penduduk taman terbabit sebaliknya tinggal di Ayer Keroh dan melalui kawasan itu sebagai jalan pintas ke Batu Berendam untuk mengelak kesesakan jalan.
Mangsa yang sudah berkahwin pula difahamkan jarang keluar rumah namun pada waktu kejadian hanya keluar untuk melihat pokok yang ditanam di tepi jalan berkenaan.
Kejadian itu sempat dirakamkan menerusi rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) penduduk taman berkenaan.
Melalui dua klip video rakaman itu, sebuah kereta berwarna putih dilihat melalui jalan SW29 dari arah kiri jalan sebelum tiba-tiba meluru dalam keadaan laju melawan arus menuju sebelah kanan jalan.
Kenderaan itu kemudian terbabas merempuh mangsa yang ketika itu baru keluar rumahnya dan bercangkung untuk membersihkan pokok sebelum dirempuh kereta berkenaan menyebabkannya terperosok di bawahnya. – MalaysiaGazette
Saman sampai bangkrap..macam mana orang ada penyakit sawan boleh dibenarkan memandu..ingat cerita Karton Walt Disney ke.