Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) sasar potensi pelaburan bernilai RM100 juta melalui penyertaan Malaysia dalam Pameran Antarabangsa BIBAN24 di Riyadh, Arab Saudi.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, sasaran itu adalah cerminan komitmen kementerian dalam memperkukuh kerjasama strategik antara Malaysia dan Arab Saudi terutama dalam sektor francais dan PKS.

Tambahnya, KUSKOP akan terus berusaha membantu usahawan-usahawan PKS dan francais untuk mengembangkan perniagaan meneroka pasaran di peringkat global.

“Ini adalah peluang terbesar usahawan-usahawan, syarikat-syarikat francais Malaysia menyertai pameran perniagaan PKS terbesar di Arab Saudi seterusnya merebut peluang meluaskan pasaran atau mengeksport produk mereka di Timur Tengah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Ewon mengetuai delegasi terdiri daripada 30 syarikat PKS, francais dan koperasi negara dalam pameran perniagaan PKS terbesar di Arab Saudi-BIBAN24.

Pada hari pertama, beliau bersama Menteri Perdagangan Arab Saudi Dr Majid Abdullah Al-Kassabiah menyaksikan pemeteraian Perjanjian Persefahaman (MoU) antara dua agensi KUSKOP iaitu SME Corp. Malaysia dan Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) dengan agensi Monsha’at (Small and Medium Enterprises General Authority) Arab Saudi.

MoU itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif, SME Corp. Malaysia, Rizal Nainy dan Gabenor Monsha’at Sami Ibrahim Alhussaini.

Ia bertujuan mewujudkan rangka kerja asas bagi kerjasama dalam perkongsian maklumat dan amalan terbaik dengan tumpuan kepada pembinaan kapasiti dan program PMKS pertumbuhan tinggi.

Pada hari yang sama, Ewon menyempurnakan pembukaan Pavilion Malaysia sempena Pameran Antarabangsa BIBAN24.

Sebanyak 30 syarikat PKS, francais dan koperasi dari Malaysia mengambil bahagian di Pavilion Malaysia sepanjang lima hari ekspo itu.

Kesemua usahawan yang menyertai pameran itu adalah usahawan yang dibangunkan oleh agensi-agensi KUSKOP iaitu SME Bank, SME Corp. Malaysia, PERNAS, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan juga Malaysian Franchise Association (MFA). -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here