Seorang nelayan maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang cuai ketika keluar simpang di Jalan Melaka-Muar, Melaka pagi semalam.

JASIN – Seorang nelayan maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang cuai ketika keluar simpang di Jalan Melaka-Muar, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.40 pagi itu, mangsa Muhammad Shamsuddin Abu Samah, 30, meninggal dunia di lokasi akibat cedera parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku ketika MPV berkenaan sedang keluar simpang rumah dan membelok ke kanan menghala ke arah Serkam.

“Mangsa yang sedang bergerak lurus di laluan utama dari arah Serkam menuju ke Merlimau kemudian tidak sempat mengelak kenderaan dipandu lelaki berusia 25 tahun itu.

“Akibatnya, motosikal jenis Yamaha Y15ZR ditunggang mangsa telah melanggar bahagian hadapan MPV berkenaan yang cuai ketika keluar simpang menyebabkannya cedera parah di kepala serta badan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, siasatan lanjut bagaimanapun masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here