SEBAHAGIAN daripada penuntut USIM yang menyertai MotoGP World Championship 2024 di Litar Antarabangsa Sepang sebagai ultras pada 3 November lalu. – Foto: Laman web USIM

SEPANG – Seramai 160 penuntut Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) meraih pengalaman berharga pabila menyertai MotoGP World Championship 2024 di Litar Antarabangsa Sepang sebagai ultras pada 3 November lalu.

Mereka merupakan sebahagian daripada 318 penuntut daripada Sekretariat Rakan Muda (SRM) yang juga disertai oleh Universiti KPJ Healthcare, Nilai dan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Pagoh.

Inisiatif itu digerakkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bertujuan merancakkan penyertaan belia dalam aktiviti sukan permotoran bertaraf dunia di bawah payung Rakan Muda.

Menurut Presiden SRM USIM, Nurul Haq Mohamad Syahid, SRM di bawah Program Rakan Muda Village diberi tanggungjawab sebagai ultras MotoGP bagi menghidupkan suasana perlumbaan dengan sorakan padu dan penuh semangat.

Tambah penuntut Program Komunikasi Media Baharu Tahun Empat itu, SRM bukan sahaja berperanan menyemarakkan semangat dalam kalangan penyokong dan pelumba, tetapi turut berfungsi sebagai ikon belia yang mendukung nilai kesukanan, kerjasama dan kepimpinan.

“Program ini yang juga sebahagian daripada inisiatif gaya hidup Rakan Muda Rakan Aktif menjadi platform utama buat para peserta menonjolkan kepimpinan dan kerja berpasukan dalam suasana yang penuh cabaran.

“Diiringi dengan sorakan bertenaga, para peserta mengenakan seragam serba hitam sambil mengibarkan bendera Rakan Muda bagi melambangkan perpaduan dan semangat solidariti belia Malaysia,” katanya seperti dipetik menerusi laporan di laman web USIM.

PENUNTUT IPT termasuk daripada USIM yang menyertai MotoGP World Championship 2024 di Litar Antarabangsa Sepang sebagai ultras pada 3 November lalu. – Foto: Laman web USIM

Tambah Nurul Haq, penglibatan dalam MotoGP World Championship 2024 itu bukan sahaja memberi pengalaman yang tidak ternilai kepada belia-belia terlibat, malah turut memperkukuh kerjasama strategik antara KBS dan institusi pengajian tinggi (IPT) terbabit.

Inisiatif itu juga, ujarnya, secara langsung menyokong matlamat pembangunan belia negara, melahirkan generasi muda yang aktif, berdaya saing dan berwawasan untuk menghadapi cabaran global.

“MotoGP di Sepang ini telah menjadi pentas terbaik buat belia untuk menonjolkan potensi mereka dan menghayati budaya kesukanan bertaraf dunia.

“Program seperti ini diyakini dapat memberi impak positif kepada golongan muda serta memupuk kecintaan terhadap sukan secara menyeluruh seiring dengan misi negara ke arah kemajuan belia yang menyeluruh dan seimbang,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast