PUTRAJAYA – Festival Idea Putrajaya 2024 mampu meletak Malaysia di peta dunia sebagai hab kecemerlangan intelektual dan inovasi.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, kementerian menyasarkan penyertaan dari pelbagai negara bagi menjadikan Putrajaya sebagai pusat dialog intelektual serantau.
Menurut beliau, ini membuktikan Malaysia bukan sahaja negara yang berkembang maju tetapi juga sebuah pusat pemikiran yang menyumbang kepada penyelesaian cabaran global.
“Inspirasi untuk menganjurkan Festival Idea Putrajaya 2024 diambil daripada festival idea bertaraf dunia seperti Leeds International FOI, York FOI, IF Oxford Science and Ideas Festival serta Aspen Ideas Festival.
“Setelah meneliti pelbagai model yang berjaya, IF Oxford Science and Ideas Festival telah dipilih sebagai inspirasi kerana ia paling sesuai dengan matlamat kita untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab inovasi dan kecemerlangan intelektual di rantau ini,” katanya pada majlis pelancaran Jeyawara Festival Idea Putrajaya di IOI City Mall di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibaca Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Seri Zaini Ujang.
Sementara itu, Kementerian Pendidikan Tinggi akan menganjurkan Festival Idea Putrajaya pada 27 hingga 29 November ini.
Penganjuran Festival Idea Putrajaya yang julung kali diadakan pada tahun ini adalah program pengenalan kepada Festival Idea Putrajaya yang bakal diadakan secara tahunan mulai tahun 2025.
Festival Idea Putrajaya ini merupakan satu inisiatif penting dalam usaha merakyatkan idea dan pendidikan tinggi secara besar-besaran serta mempromosi Malaysia sebagai pusat wacana intelektual dan inovasi di peringkat serantau dan global melalui pendekatan the whole of government.
Mengulas lanjut, Zambry menambah, selaras dengan aspirasi negara untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi dan berasaskan pengetahuan menjelang tahun 2030, Festival Idea Putrajaya Tahun 2024 adalah langkah strategik yang menyokong pelbagai agenda nasional seperti Malaysia Madani dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).
“Penganjuran festival ini bukan sekadar acara perbincangan tetapi mencerminkan komitmen Malaysia untuk menggalakkan budaya inovasi dan kreativiti dalam kalangan rakyat, di samping mempromosikan wacana intelektual yang inklusif, progresif, dan berwawasan,” katanya. – MalaysiaGazette