ALOR GAJAH – Suasana di Sekolah Rendah Agama, Jabatan Agama Islam (JAIM) di Taman Sutera di sini, gempar dengan kemunculan seekor ular sawa batik yang disedari seorang murid.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.50 tengah hari Khamis lalu, murid perempuan berkenaan terpandang objek berkilat di dalam longkang ketika sedang bermain bersama rakan berdekatan kantin sekolah sebelum memaklumkannya kepada guru mereka.
Guru terbabit yang enggan dikenali berkata, beliau kemudian terus menghubungi Pejabat Daerah Pertahanan Awam Malaysia (PDPA) Alor Gajah untuk bantuan menangkap reptilia liar itu selepas mengenal ia adalah ular sawa.
“Sebelum ini kami pernah menemui anak ular sawa di kawasan sekolah dan menghalaunya sendiri, namun kali ini saiznya agak besar.
“Jadi kali ini kami terpaksa minta bantuan pihak APM yang berjaya menangkapnya,” katanya dihubungi di sini.
Menurutnya, ular sawa berkenaan mungkin datang dari kawasan belukar di belakang sekolah walaupun pihak sekolah sentiasa mengambil langkah membersihkan persekitaran sekolah bagi mencegah kehadiran haiwan liar.
Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Alor Gajah, Kapten (PA) Shahrulnizam Mad Shah berkata, empat anggota APM mengambil masa sekitar 20 minit untuk menangkap ular sawa itu menggunakan penjerut dan pengepit.
“Saiznya adalah sepanjang kira-kira tiga meter dan berat hampir 30 kilogram dan telah dibawa ke pejabat APM Alor Gajah untuk tindakan lanjut,” katanya. – MalaysiaGazette