Naib Presiden GPMS, Muhammad Danial Alimin.

KUALA LUMPUR – Cadangan format baharu pemilihan perwakilan Parlimen Belia yang menyerupai sisitem pilihan raya umum (PRU) dibimbangi mengundang pelbagai isu seperti politik wang dan pengaruh pihak tertentu.

Ahli Parlimen Belia Malaysia, Muhammad Danial Alimin berkata, pemilihan perwakilan Parlimen Belia sepatutnya lebih menitikberatkan kualiti kepimpinan dan kemampuan berhujah, bukan sekadar populariti.

Tambahnya yang juga Naib Presiden Siswa Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), pendekatan itu juga mungkin akan meminggirkan pelajar yang kurang berpengaruh, tetapi mempunyai potensi besar dalam kepimpinan.

Selain itu, ujar beliau, cadangan tersebut juga menimbulkan persoalan mengenai ketelusan dan keadilan proses tersebut.

“Adakah sistem ini akan dilaksanakan dengan jaminan bebas daripada manipulasi?

“Kita tidak mahu melihat Parlimen Belia menjadi platform yang dipolitikkan atau disalahgunakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul baru-baru ini dilaporkan memberikan cadangan supaya format pemilihan perwakilan Parlimen Belia menyerupai sistem pemilihan PRU dengan jumlah perwakilan diperluas kepada seramai 222 orang berbanding hanya 100 orang ketika ini.

Menerusi cadangan itu, pencalonan perwakilan juga akan dipilih dalam kalangan mahasiswa institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) di seluruh negara sahaja.

Tambah Muhammad Danial, cadangan mengehadkan pemilihan calon dalam kalangan mahasiswa IPTA dan IPTS juga berpotensi menafikan hak penyertaan belia yang tidak berada dalam lingkungan institusi pengajian tinggi atau belia yang tercicir.

Sedangkan, ujar beliau, kerajaan tidak wajar meminggirkan suara belia di luar sistem pendidikan formal kerana golongan itu juga mempunyai pandangan kritikal dan pengalaman unik.

“Parlimen Belia seharusnya menjadi wadah inklusif untuk semua belia Malaysia, tanpa mengira latar belakang pendidikan.

“Saya menyeru agar Parlimen Belia turut membuka ruang kepada belia yang aktif dalam NGO, sukarelawan, dan pelbagai sektor lain,” katanya.

Sementara itu, tambahnya, walaupun penambahan jumlah perwakilan kepada 222 orang dilihat sebagai usaha memperluas penyertaan, namun tanpa perancangan dan pemantauan yang jelas, ia mungkin hanya akan menambah kos pentadbiran tanpa memberi impak ketara kepada kualiti perbahasan.

Jelas beliau, fokus utama seharusnya adalah kepada peningkatan kualiti penyertaan, bukannya kuantiti, manakala tempoh masa persidangan yang singkat ibarat menafikan hak untuk Ahli Parlimen Belia Bersuara.

“Pemilihan calon perlu lebih berfokus kepada merit dan rekod kepimpinan calon-calon tersebut.

“Kita boleh mempertimbangkan kaedah saringan yang lebih ketat melalui temu duga dan penilaian portfolio,” katanya.

Sehubungan itu, tambahnya, adalah wajar sebelum sebarang perubahan dibuat, sesi libat urus bersama semua belia dari pelbagai latar belakang diadakan terlebih dahulu bagi mendapatkan pandangan yang lebih menyeluruh.

Ia juga, katanya, selaras dengan semangat demokrasi yang ingin diterapkan dalam generasi muda.

“Saya percaya Parlimen Belia harus kekal sebagai platform yang mengangkat suara belia Malaysia tanpa mengira latar belakang.

“Marilah kita bersama-sama membentuk generasi pemimpin yang bukan sahaja bijak berhujah tetapi juga berjiwa rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast