Beregu wanita negara, Ng Qi Xuan menahan kesakitan selepas mengalami kecederaan serius ketika menentang Go Pei Kee dan Teoh Mei Xing pada separuh akhir Kejohanan Malaysia Super 100 di Stadium Juara. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR- Pemain beregu wanita negara, Ng Qi Xuan yang terkehel lutut serius dalam perlawanan separuh akhir Kejohanan Badminton Malaysia Super 100 pada Oktober lalu bakal menjalani program rehabilitasi di Institut Sukan Negara (ISN), Disember ini.

Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Ahmad Faedzal Md. Ramli berkata, Qi Xuan yang baru sahaja menjalani pembedahan pada 24 Oktober lalu kini masih dalam pemantauan hospital.

“Pihak kami dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memang ada melawatnya sebelum menjalani pembedahan.

“Beliau ada menyatakan hasrat untuk menerima rawatan rehabilitasi yang lebih canggih di ISN, yang dapat membantunya kembali beraksi dengan lebih cepat di dalam gelanggang,” katanya.

Ahmad Faedzal berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis perasmian Simposium Kejurulatihan Antarabangsa (ICS) 2024, di Hotel Zenith, Putrajaya, hari ini.

“Kami akan terus memberi komitmen penuh untuk membantu Qi Xuan dalam proses rawatan rehabilitasinya itu nanti,” tambahnya.

Sebelum ini, Qi Xuan melalui media sosial memaklumkan dia mengalami kecederaan Ligamen Krusiat Anterior (ACL),  medial collateral ligament (MCL), ligamen krusiat belakang (PCL), selain cedera  lateral collateral ligament (LCL) dan sedikit keretakan tulang.

Kecederaan itu berlaku selepas Qi Xuan melakukan loncatan semasa mengambil bulu tangkis ketika bertemu gandingan BAM, Go Pei Kee- Teoh Mei Xing di separuh akhir.

Dia kemudiannya terpaksa diusung keluar sekali gus memberi kemenangan kepada pihak lawan yang kemudiannya muncul juara keseluruhan kejohanan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast