Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan menunjukkan senjata api yang berjaya dirampas selepas menangkap seorang suspek dalam serbuan di kediamannya ketika bercakap di sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 23 APRIL 2025.

SHAH ALAM – Hobi mengumpul senjata api selama 20 tahun mengundang padah kepada seorang lelaki apabila beliau ditahan polis di kediamannya di Serendah pada Isnin lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, lelaki berusia 69 tahun itu ditangkap dalam serbuan yang dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman pada jam 5 petang.

Ujarnya, ketika serbuan polis merampas tiga senjata api termasuk empat senapang angin jenis Airsoft.

“Butiran senjata api adalah sepucuk pistol jenis revolver; selaras senapang jenis CAL 22/5.5M; sepucuk pistol jenis CZ75 dan empat Airsoft selain kotak plastik hitam mengandungi taser gun dan dua bateri selain lebih 100 butir peluru dan kelongsong,” katanya ketika sidang media di IPK Selangor, hari ini.

Selain itu katanya, polis turut merampas dua buah kereta jenis  BMW dan Mitsubishi Triton milik lelaki tersebut.

Hussein berkata, hasil siasatan mendapati antara senjata api koleksinya adalah pemberian daripada rakannya dan dibelinya sendiri.

“Dari mana dia beli senjata itu kita masih saisat,” katanya.

Selain itu, katanya, lelaki itu didapati menggunakan jata dari kerabat Perak meskipun tidak pernah menerima darjah kebesaran daripada mana-mana negeri.

Lelaki tersebut, ujarnya, kini direman enam hari bermula semalam dan siasatan dilakukan di bawah Seksyen 7 Akta Senjatapi 1971; Seksyen 36 Akta Senjata 1960; Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama 1963.

Hussein memaklumkan pihaknya telah merakam lima keterangan awam bagi membantu siasatan.

“Kami akan memanggil lebih beberapa saksi untuk membantu siasatan ini,” katanya lagi.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast