Jejantas Tun Teja, Melaka.

MELAKA – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) menafikan wujud unsur penyelewengan dan ketidak telusan dalam proses pemilihan syarikat bagi melaksanakan perkhidmatan penyelenggaraan dan pembersihan bersepadu Jejantas Tun Teja di Peringgit di sini.

Jelas Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman, projek itu dilaksanakan menerusi proses perolehan secara tender terbuka yang dikendalikan Urusetia Perolehan, Jabatan Kewangan MBMB dan diiklankan melalui Sistem Tender Online Melaka (STOM).

Tender berkenaan dibuka kepada semua kontraktor yang berkelayakan selain MBMB turut mempelawa 19 kontraktor untuk menyertainya.

“Berdasarkan proses perolehan yang dijalankan, hanya seorang penender telah memasuki tawaran dengan syarat-syarat seperti yang ditetapkan.

“Iklan tawaran dibuka selama 21 hari bermula 14 Mei hingga 3 Jun 2026 sebelum Jawatankuasa Lembaga Perolehan MBMB yang bersidang pada 15 Jun 2026 kemudian bersetuju memilih ACS Engineering & Services untuk melaksanakan projek berkenaan bagi tempoh tiga tahun.

“Pemilihan syarikat ini dibuat selepas melalui satu proses yang telus, teratur serta jelas dan berintegriti mengikut tatacara perolehan yang ditetapkan dalam Arahan Perbendaharaan dan Pekeliling Kerajaan yang masih berkuat kuasa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang turut dihadiri Setiausaha MBMB Muhammad Firdaus Shariff di Graha Makmur, hari ini.

Datuk Shadan Othman

Menurut Shadan, kontrak yang bermula pada 1 Julai 2026 hingga 30 Jun 2029 itu membabitkan nilai kontrak sebanyak RM2.075 juta.

“Nilai itu merupakan harga siling ditetapkan bagi setiap kerja berkaitan dan mana-mana keperluan atau alat yang tidak perlu diganti tidak akan dibayar kepada pihak syarikat tersebut.

“Skop perkhidmatan penyelenggaraan dan pembersihan ini meliputi lebih daripada 10 antaranya merangkumi penyelenggaraan elektrik seperti sistem pengcahayaan, penyelenggaraan panel DB, sistem perlindungan kilat, penyelenggaraan mekanikal dan perkhidmatan pembersihan termasuk pembersihan fasad kawasan aras rendah serta fasad tinggi.

“Ini memerlukan sistem akses peralatan kerja di tempat tinggi selain pembersihan sistem saliran termasuk paip air hujan (RWDP), sistem pemantauan serta perkhidmatan pengurusan,” katanya.

Sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) yang memiliki Sistem Anti-Bribery Management System (ABMS) MS ISO 37001, katanya, MBMB perlu sentiasa patuh dengan prosedur yang ditetapkan.

“Pensijilan ABMS ini penting kerana ia merangkumkan semua garis panduan berhubung integriti,” katanya.

Semalam, DAP Melaka meminta pihak berkaitan memberi penjelasan berhubung kewajaran kos penyelenggaraan Jejantas Tun Teja yang mencecah lebih RM2 juta.

Pengerusinya, Khoo Poay Tiong berkata, ia berdasarkan kepada surat tender yang dikeluarkan kepada sebuah syarikat pembersihan pada Mac lalu.

Beliau menyifatkan kos berkenaan terlalu tinggi untuk menyelenggara sebuah jejantas itu yang baru disiapkan lebih setahun lalu. – MalaysiaGazzette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here