Parameswara dijatuhi hukuman penjara lima hari dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di Johor Bahru hari ini atas tuduhan memperdaya.

JOHOR BAHRU – Tindakan seorang penganggur memperdaya seorang pemandu e-hailing dengan mengemukan resit pembayaran palsu memakan diri apabila dijatuhi hukuman penjara lima hari dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret A Shaarmini menjatuhi hukuman penjara itu terhadap tertuduh, B Parameswara yang berusia 26 tahun bermula dari tarikh dia ditahan pada Isnin lalu.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara selama sebulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memperdaya Mohd Firdaus Md Naim dengan secara curang mendorong mangsa mempercayai resit pembayaran yang dikemukakan adalah benar.

Perbuatan itu juga menyebabkan mangsa mempercayai bayaran sudah dibuat, sekali gus mendorong mangsa menyerahkan wang baki kepadanya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah hotel di Jalan Bakawali 52, Taman Johor Jaya, di sini pada 17 September lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Anis Shafeeqah Mohd Sharifuddin, manakala tertuduh diwakili peguam, P Rajagunaseelan.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here