SEREMBAN – Reman terhadap suspek pertama yang ditahan bagi membantu siasatan kes kematian seorang pelajar lelaki tingkatan dua di Kuala Pilah pada 25 Sept lepas, disambung selama tujuh hari bermula esok hingga 8 Okt.
Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata permohonan menyambung reman terhadap suspek lelaki berumur 16 tahun itu dibuat di Mahkamah Majistret Kuala Pilah, di sini, pagi tadi.
Alzafny berkata remaja terbabit direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, manakala seorang lagi pelajar tingkatan empat direman hingga Sabtu ini.
Semalam, Alzafny dilaporkan berkata sebanyak 69 keterangan telah direkodkan dan setakat ini, lima pelajar telah tampil kepada pihak polis dan mendakwa pernah dibuli oleh seorang daripada dua suspek yang ditahan, bagi membantu siasatan kes kematian seorang pelajar lelaki tingkatan dua di Kuala Pilah pada Jumaat lepas.
ARTIKEL BERKAITAN
Pelajar lelaki terbabit dikejarkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah selepas ditemukan tidak sedarkan diri di asramanya sebelum disahkan meninggal dunia.
— BERNAMA
















