RAUB – Penemuan seekor lagi ikan yang disyaki `piranha perut merah’ bukan sahaja mencetuskan persoalan mengenai kewujudan spesies itu di Sungai Klau di sini, malah memberi pengalaman luar biasa kepada seorang pemancing yang sempat merakam ikan tersebut menggunakan telefon bimbitnya.
Muhammad Haziq Aiman Shaiful Arifin, 23, berkata, dia tidak pernah melihat ikan dengan ciri sedemikian sepanjang memancing di sungai itu sebelum ini, menyebabkan penemuan berkenaan dianggap pengalaman baharu baginya.
Katanya, perhatian tertumpu kepada warna badan ikan yang kelihatan keemasan dengan tompok merah yang jelas, sebelum dia mengambil keputusan merakamnya ketika memancing bersama empat rakan pada 16 September lalu.
“Memang saya teruja sebab selama saya memancing di sini, saya tak pernah nampak ikan seperti itu.
“Warnanya keemasan dan dari jauh nampak tanda merah pada badan. Saya tak tahu ikan apa, jadi saya terus rakam menggunakan telefon sendiri,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Menurutnya, rakaman berkenaan pada asalnya dibuat sekadar untuk mendapatkan pandangan daripada individu yang lebih mengetahui mengenai spesies ikan dan bukan bertujuan menularkannya.
Katanya, video itu masih disimpan di dalam telefon bimbitnya dan menjadi bukti bahawa dia sendiri menyaksikan penemuan berkenaan.
Bagaimanapun, dia tidak dapat memastikan sama ada ikan itu benar-benar piranha atau spesies lain yang mempunyai ciri fizikal hampir sama.
“Saya pun baru memancing di kawasan itu. Jadi saya tak tahu kalau orang lain sebenarnya pernah jumpa ikan ini sebelum ini.
“Saya serahkan kepada pihak yang lebih arif termasuk Jabatan Perikanan untuk sahkan sama ada ia betul-betul piranha atau bukan,” katanya.
Penemuan kedua itu menambah tanda tanya terhadap dakwaan kewujudan piranha di kawasan terbabit, selepas penemuan pertama sebelum ini turut mendapat perhatian susulan rakaman ikan yang mempunyai ciri hampir sama.
Bagaimanapun, pengesahan pihak berkuasa diperlukan bagi menentukan identiti sebenar ikan berkenaan dan sama ada ia benar-benar piranha perut merah (red-bellied piranha) atau spesies lain.
Bagi Muhammad Haziq Aiman, apa yang pasti, penemuan itu menjadi pengalaman yang tidak dijangka kerana daripada sekadar memancing, dia akhirnya berpeluang merakam sendiri ikan yang jarang ditemuinya.

Sementara itu, pemancing, Syed Zam Shaari, 29, berkata, dia yang sering berkunjung ke kawasan itu pada hujung minggu mengakui ada mendengar berkenaan penemuan pirahna di situ.
Tukang kebun itu sering mendapat ikan lampan, toman, baung ketika memancing, namun ingin mencuba nasib dengan mengharapkan `ikan pirahna’ mengena umpan.
“Mana tahu kalau saya memancing dan dapat, kalau ada, adalahlah.
“Tetapi kalau betul wujud, habislah ikan lain di sini kerana ikan piranha akan memakan ikan lain,” katanya.
Sementara itu, tinjauan wartawan MalaysiaGazette yang cuba mengail di lokasi kedua dikatakan berlaku penemuan pirahna tersebut bagaimanapun hampa. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN :
11 tahun di Empangan Klau tak pernah jumpa piranha, barangkali seekor itu sesat
















