MELAKA – Meletakkan nombor telefon tidak berfungsi pada tabung kutipan derma ‘khairat madrasah’ bagi meyakinkan orang ramai dipercayai antara modus operandi sindiket mengaut keuntungan lebih RM10,000 sebulan dari premis di negeri ini.
Kegiatan itu dikesan selepas Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) menjalankan operasi membanteras kutipan khairat tanpa kebenaran Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) di sebuah kedai makan Tanjung Kling, awal pagi tadi.
Menurut sumber, operasi dilakukan sekitar jam 2.15 pagi sebelum pasukan penguat kuasa menyita tiga tabung di Tanjung Kling, masing-masing sebuah tabung tertera ‘khairat madrasah’.
“Dua tabung berkenaan dipercayai berasal dari Malaysia manakala satu lagi dari Jenong, Thailand yang mana hasil pemantauan mendapati kebanyakan nombor telefon yang tertera pada tabung tidak lagi wujud atau berfungsi.
“Sindiket ini mungkin sengaja meletakkan nombor telefon tidak wujud bagi meyakinkan orang ramai untuk menderma demi mengaut keuntungan mudah ribuan ringgit sebulan,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Menurutnya, modus operandi sindiket itu adalah dengan meninggalkan tabung-tabung mereka di premis seperti kedai makan, warung, pasar raya, stesen minyak dan kedai runcit untuk tempoh tertentu sebelum datang mengambil semula tabung berkenaan.
“Dalam kes-kes sebelum ini, ada antara tabung terbabit dipercayai berselindung di sebalik nama tahfiz atau madrasah yang tidak wujud dan jumlahnya boleh capai lebih RM10,000 sebulan jika dikumpulkan dari beberapa lokasi.
“Tabung dan wang tunai dalam kes ini disita kerana disyaki berlaku pelanggaran kesalahan di bawah Seksyen 94 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Melaka) (Pindaan) 2022 dan hasil kutipan akan diserahkan kepada pihak pengurusan Baitulmal,” katanya.
Beliau berkata, tabung yang mempunyai nama individu, kumpulan, pertubuhan atau institusi yang tertera padanya boleh dikenakan tindakan sekiranya digunakan untuk pungutan khairat tanpa kebenaran.
“Tabung pungutan khairat di negeri ini perlu mendapat kebenaran MAIM dan tertakluk kepada syarat yang ditetapkan, termasuk mengeluarkan resit.
“JAIM berharap pemilik premis lebih bertanggungjawab dan tidak membenarkan tabung kutipan derma diletakkan di premis mereka tanpa kebenaran,” katanya.
Beliau berkata, orang ramai juga dinasihatkan supaya menyemak terlebih dahulu kesahihan sesuatu tabung kutipan derma sebelum menghulurkan sumbangan.
Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 94 Enakmen berkenaan, individu terbabit boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali. – MalaysiaGazette
















