PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) meminta pegawai perubatan yang dilantik secara tetap di bawah pengambilan fasa kedua supaya melapor diri bertugas selewat-lewatnya pada 7 Oktober ini, ketika proses penempatan masih sedang dijalankan.
Kementerian itu berkata, proses melapor diri bagi pegawai perubatan Gred UD10, yang pelantikan tetap mereka berkuat kuasa pada 28 September lalu, masih berlangsung.
Menurutnya, fasa kedua itu melibatkan 4,255 pegawai perubatan yang ditawarkan penempatan menerusi sistem ePlacement.
“Proses melapor diri di fasiliti penempatan masing-masing masih berlangsung dan belum selesai,” kata kementerian itu dalam kenyataan, hari ini.
KKM menggesa semua pegawai yang masih belum melapor diri supaya berbuat demikian dengan segera di Pusat Tanggungjawab (PTj) masing-masing sebelum tarikh akhir 7 Oktober.
Kementerian itu turut meminta semua pihak supaya tidak membuat kesimpulan awal ketika proses penempatan masih giat dilaksanakan.
“Kementerian meminta semua pihak memberikan ruang agar proses penempatan dapat berjalan dengan lancar,” katanya. – BERNAMA
















