Presiden DPMM, Norsyahrin Hamidon

KUALA LUMPUR: Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) meminta supaya satu tempoh masa diberikan dalam pelaksanaan gaji minimum baharu khususnya melibatkan sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Presidennya, Norsyahrin Hamidon berkata, kenaikan itu juga perlu dibuat secara berkala dan tidak mendadak supaya PMKS boleh merancang pelan perniagaan masing-masing.

Tambahnya, ia termasuk kawalan terhadap aliran tunai dan modal yang diperlukan untuk meneruskan perniagaan di masa akan datang.

“Kerajaan pada masa yang sama wajib memastikan satu formula bagi memastikan kenaikan gaji mestilah selari dengan kadar produktiviti dan peluang perniagaan dalam negara mesti dipertingkatkan.

“Pendekatan itu penting bagi memastikan peningkatan gaji bergerak seiring dengan peningkatan produktiviti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Media sebelum ini melaporkan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mana kadar gaji minimum sebanyak RM1,700 dijangka dinaikkan dan perinciannya akan diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2027 pada 9 Oktober ini.

Anwar berkata, semakan dan kajian bagi pelarisan gaji minimum kini berada pada peringkat akhir sebelum diumumkan dalam pembentangan belanjawan di Dewan Rakyat.

Dalam pada itu, Norsyahrin berkata, kerajaan perlu melindungi perniagaan tempatan khususnya perusahaan PMKS yang sedang berdepan tekanan kos operasi dan cabaran ekonomi semasa.

Dalam masa sama, beliau turut menghargai kenyataan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong bahawa PMKS dikecualikan daripada kenaikan kadar gaji minimum baharu buat masa ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here