Lokasi saringan utama pengunjung Grand Prix (GP) Formula 1 (F1) Gulf Air Bahrain di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

SHAH ALAM – Semua kenderaan yang menuju ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sempena Grand Prix (GP) Formula 1 (F1) Gulf Air Bahrain bermula esok hingga Ahad ini diwajibkan melalui pemeriksaan saringan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, pemeriksaan dilakukan di lima lokasi utama bagi memastikan kawalan akses ke litar berjalan teratur, selain membantu mengawal pergerakan trafik sepanjang penganjuran perlumbaan.

Sidang media Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar mengenai penugasan kawalan keselamatan dan lalulintas sempena penganjuran Grand Prix (GP) Formula 1 (F1) Gulf Air Bahrain di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

“Saringan membabitkan semakan tiket, pas kenderaan dan pelekat akses sebelum pengunjung dibenarkan memasuki kawasan SIC,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor hari ini.

Menurut beliau, lima lokasi saringan itu ialah kawasan Chicken Hut dari arah Plaza Tol KLIA; laluan dari arah KLIA Terminal 1 menuju ke bulatan Masjid; kawasan sebelum bulatan masjid; laluan dari arah Kompleks Warisan Rohaniah serta simpang empat di kuarters Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Selain itu, Shazeli berkata, seramai 365 pegawai dan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) ditugaskan bagi mengawal lalu lintas sepanjang acara berkenaan.

Penugasan meliputi kawalan lalu lintas, pencegahan kesesakan, penguatkuasaan undang-undang serta kawalan pergerakan VIP.

“Kawalan dan penguatkuasaan trafik akan dilaksanakan dari 9 pagi hingga 6 petang setiap hari dengan kemuncak dijangka berlaku pada Ahad, 4 Oktober,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan pengunjung supaya mematuhi arahan anggota trafik dan papan tanda yang disediakan bagi memastikan kelancaran pergerakan ke kawasan parkir masing-masing.

Tambahnya, kenderaan tanpa pas akses atau parkir termasuk motosikal tidak dibenarkan memasuki kawasan SIC dan akan diarahkan ke lokasi hentian bas shuttle yang ditetapkan.

“Motosikal hanya dibenarkan masuk bagi petugas dan pekerja yang mempunyai kebenaran serta pas berkaitan,” katanya sambil berkata sebanyak 4,000 ruang parkir kenderaan disediakan pihak penganjur sempena perlumbaan berkenaan.

Shazeli turut mengingatkan pengguna jalan raya supaya tidak meletakkan kenderaan di bahu jalan kerana tindakan saman dan tunda akan dikenakan terhadap kenderaan yang menghalang laluan.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai yang menghadiri GP F1 supaya merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan kesesakan terutama pada hari perlumbaan.

“Pengguna jalan raya diminta mematuhi arahan petugas di lapangan dan merancang perjalanan lebih awal demi kelancaran trafik.

“Penumpang yang menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan Terminal 2 juga digesa bergerak lebih awal bagi mengelakkan kesesakan dan memastikan mereka tiba mengikut masa ditetapkan,” katanya.

Sebagai rekod, kira-kira 200,000 penonton dijangka menghadiri GP Formula 1 (F1) Gulf Air Bahrain di SIC bermula esok hingga Ahad ini dengan jumlah kehadiran tertinggi dijangka dicatatkan pada Ahad.

SIC sebelum ini menjadi tuan rumah Grand Prix Malaysia dari 1999 hingga 2017 sebelum perlumbaan itu digugurkan daripada kalendar F1 susulan peningkatan kos penganjuran dan yuran pelesenan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here