Maszlee Malik

KUALA LUMPUR- Tidak perlu wujudkan semula Majlis Profesor Negara (MPN) sebaliknya kukuhkan sahaja Akademi Profesor Malaysia (APM) sebagai badan yang mewakili pandangan para profesor.

Itu pandangan bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berhubung cadangan untuk menghidupkan kembali MPN atau menubuhkan badan pemikir baharu bagi mengembleng peranan ahli akademik di negara ini.

Jelas beliau, setelah meneliti aktiviti yang dijalankan oleh Akademi Profesor Malaysia, badan tersebut dilihat aktif memainkan peranan dalam memberi pelbagai pandangan kepada kerajaan.

Tambahan pula, berbeza dengan MPN, Akademi Profesor Malaysia adalah sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang mempunyai keahlian yang terdiri daripada profesor dan profesor madya daripada semua institusi pengajian tinggi di Malaysia.

Menurut Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR itu, pertubuhan tersebut dikendalikan oleh suatu Majlis yang dilantik di kalangan ahli-ahli mereka untuk tempoh dua tahun.

Melalui struktur sebegitu katanya, Jemaah Menteri pada masa itu berpandangan pertubuhan ini dapat benar-benar mewakili pandangan profesor dan ilmuan di Malaysia.

“Sebenarnya perbincangan tentang MPN bukanlah perkara baru. Jemaah Menteri telahpun membincangkan perkara ini pada tahun 2019 dan telah membuat keputusan untuk menubuhkan sebuah badan baru, yang dikenali sebagai Akademi Profesor Malaysia (APM) bagi menggantikan MPN.

“Justeru, pada pandangan saya, tidak ada keperluan untuk pihak kerajaan mewujudkan kembali MPN atau menubuhkan badan baru untuk menggembleng peranan profesor di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast