Armizan Mohd Ali

PAPAR – Mana-mana pihak yang ingin menjalin kerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak perlu menunggu Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN17).

Timbalan Setiausaha Agung GRS Datuk Armizan Mohd Ali berkata, sekiranya ada pihak yang mahu bekerjasama, ia perlulah dimulakan sekarang sebelum PRN17 yang dijangka diadakan pada tahun depan.

“Sekarang ada tempoh setahun lagi (sebelum PRN17), bekerjasamalah dengan kerajaan. Tunjukkan keikhlasan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan di Jalan Sabindo dan menerima taklimat daripada Kementerian Kerja Raya di Kampung Suangon di sini hari ini.

Armizan, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, bagaimanapun berkata sebarang kerjasama dengan pihak lain akan diputuskan oleh Ahli Majlis Tertinggi GRS.

Katanya sebagai gabungan parti yang terdiri daripada pelbagai parti tempatan, keputusan tidak diambil secara bersendirian tetapi mengambil kira pandangan semua pihak yang terlibat.

Parti komponen GRS terdiri daripada Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Parti Maju Sabah (SAPP), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Presiden Parti Cinta Sabah (PCS). – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast