Zahari, Mohammad Hardee, Hamdan dan Maniza selepas Majlis Pelancaran Program Satu Pemimpin, Satu kampung (Santuni Madani) di Dewan Hassan Abdullah, Kampung Pasir, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Johor sedang mengazetkan tanah untuk projek keterjaminan makanan di Segamat bagi meningkatkan hasil pertanian dan sekuriti makanan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Datuk Zahari Sarip berkata, kawasan terbabit sudah dikenal pasti yang tidak terlibat dengan banjir.

Beliau memberitahu, kawasan pertanian tersebut melibatkan antara 800 sehingga 1,200 hektar.

“Aktiviti pertanian seperti tanaman sayur-sayuran termasuk nanas dan ternakan ayam. Kita akan putuskan tanaman yang sesuai termasuk herba.

“Kita juga sudah mengenal pasti beberapa usahawan dalam dan luar negeri yang berpotensi untuk terlibat menjayakannya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Program Satu Pemimpin, Satu Kampung (Santuni Madani) di Dewan Hassan Abdullah, Kampung Pasir, di sini, hari ini.

Turut hadir Pemangku Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Datuk Dr Mohammad Hardee Ibrahim, Pemangku Ketua Pegawai Strategi Korporat Kumpulan SME Bank, Hamdan Mohd Habibollah serta Ketua SME Bank Wilayah Selatan, Maniza Mohd Abu.

Zahari berkata, projek itu dalam peringkat akhir perbincangan dan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi akan mengumumkan perkara tersebut dalam Belanjawan Johor 2025 pada hujung bulan ini.

Ditanya sama ada kerajaan negeri menerima laporan kemusnahan tanaman akibat banjir baru-baru ini, Zahari berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima laporan berkenaan kerugian akibat bencana alam itu.

Namun ujarnya, beliau sudah mengarahkan semua pihak terbabit seperti jabatan perikanan, pertanian dan veterinar supaya lebih bersiap sedia menghadapi Monsun Timur Laut (MTL).

“Kita harap MTL tahun ini tidak seburuk yang lepas-lepas. Walau bagaimanapun semua jabatan telah mula membuat pemantauan tentang hasil-hasil tangkapan dan juga pertanian.

“Ini untuk kita siap sedia jika berlaku musim angin MTL dan bagi pihak kerajaan negeri pun dalam mesyuarat yang baru-baru ini, Menteri Besar telah mengarahkan semua agensi dan jabatan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat dan sebagainya bersiap sedia,” ujarnya.

Menurutnya, cuaca ketika ini tidak menentu kerana kadang-kadang hujan dan secara tiba-tiba hujan.

Sementara itu, Dr Mohammad Hardee berkata, program berkenaan akan memberi manfaat kepada 8,000 penduduk kampung tersebut dan bantuan akan diberi secara berterusan selepas ini.

Beliau berharap, menerusi program berkenaan penduduk bukan sahaja merebut peluang pinjaman atau mendapatkan geran tetapi juga khidmat bimbingan dan nasihat.

Tambahnya, menerusi majlis tersebut seramai 100 pelajar dari kampung berkenaan menerima bantuan program Back To School 2025 dengan peruntukan sebanyak RM20,000.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here