TMJ
Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail

ISKANDAR PUTERI – Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim berpendapat,  pengadil yang melayangkan kad merah kepada pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi dan pemain Perak FC, Tommy Mawat Bada kerana ‘bergaduh’ dalam aksi Liga Super malam tadi satu tindakan yang wajar.

Baginda yang juga pemilik kelab JDT berpandangan The Bos Gaurus wajar diberikan sepakan penalti selepas Clayton Silveira dikasari pada babak pertama.

“Ref (pengadil) patut red card (kad merah) untuk dua-dua (Arif Aiman dan Tommy) players (pemain) bergaduh. Feroz 50/50 challenge (terjahan) saya tak tahu. But (Namun) kalau saya ref (pengadil) bagi sahaja penalty pada Perak.

“Apa-apa keputusan kita terima,” titah Tunku Mahkota Ismail kepada media menerusi mesej peribadi (DM) dalam Instagram miliknya.

Semasa aksi antara JDT dan Perak FC dalam Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim di sini, Arif Aiman dikatakan bernasib baik apabila terlepas layangan kad merah selepas didakwa menumbuk Tommy pada insiden minit ke-83.

Namun, pengadil perlawanan, Razlan Joffri Ali hanya melayangkan kad kuning kepada Arif Aiman sekali gus dikritik hebat oleh peminat sukan tanah air di laman sosial semalam.

Sebagai rekod, penyerang JDT, Bergson da Silva pernah dilayangkan kad merah kerana menumbuk kepala pertahanan Kedah, Rodney Calvin dua tahun lalu.

Selain itu, Razlan turut membuat keputusan kontroversi apabila tidak menghadiahkan Perak sepakan penalti pada minit ke-37 selepas Clayton Silveira dikasari pertahanan JDT, Feroz Baharudin meskipun semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) telah dibuat.

Walaupun saingan berlangsung dalam keadaan panas, Harimau Selatan tidak mempunyai masalah untuk meraih kemenangan 5-0 pada aksi tersebut sekali gus mengukuhkan kedudukan pendahulu Liga Super.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast