KUALA LUMPUR – Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah melancarkan Pusat Panggilan Setempat SSPA hari ini yang boleh dihubungi melalui talian 03-8885 3380.

Saluran tambahan ini beroperasi dari Isnin hingga Jumaat (kecuali Sabtu, Ahad dan hari kelepasan am) pada jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang, bagi membantu pegawai awam mendapatkan penjelasan berkaitan sebarang persoalan atau kekeliruan mengenai Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang baharu diperkenalkan.

JPA berkata, penubuhannya bertujuan untuk meningkatkan lagi akses kepada maklumat yang tepat serta memberikan penjelasan menyeluruh mengenai sistem saraan tersebut.

Inisiatif ini adalah saluran tambahan selain portal rasmi www.sspa.gov.my, untuk memudahkan semua Pegawai Awam Persekutuan dan Negeri mendapatkan penjelasan yang jelas, cepat dan tepat.

Perasmian pusat ini disempurnakan oleh Ketua Pengarah JPA, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan  Abdul Aziz.

Sejak pengenalan SSPA melalui Pekeliling Perkhidmatan Bil. 1 Tahun 2024 pada 13 September 2024, sebanyak 54 sesi Libat Urus SSPA (SLU)
telah dilaksanakan untuk memberikan penerangan mengenai sistem saran yang baharu.

Walaupun antara hasrat utama SSPA adalah untuk memberi manfaat kepada Pegawai Awam, beberapa salah faham dan persepsi yang
tidak tepat masih berlegar, yang boleh menjejaskan pelaksanaannya.

Oleh itu, Pusat Panggilan Setempat SSPA ini bertujuan untuk memperjelaskan segala persoalan dan memastikan semua pihak memahami sepenuhnya tujuan dan manfaat sistem saraan ini.

Pengenalan SSPA adalah sebahagian daripada Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam yang lebih besar, yang bertujuan untuk mempertingkatkan kualiti perkhidmatan awam disamping dapat membantu mengurangkan kos sara hidup bagi Pegawai Awam.

Sistem ini juga dibangunkan sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk meningkatkan efisiensi sektor awam, selaras dengan dasar Malaysia Madani.

Untuk memastikan sokongan yang berkesan, Pusat Panggilan Setempat ini akan dikendalikan oleh 20 orang pegawai yang terdiri daripada ahli Jawatankuasa Kajian SSPA.

Para pegawai ini terlibat secara langsung serta mempunyai pengetahuan mendalam mengenai sistem SSPA dan bersedia memberikan penjelasan terperinci untuk menyelesaikan sebarang kekeliruan yang timbul.

Inisiatif ini adalah bukti komitmen JPA dalam memastikan pegawai awam dilengkapi dengan pemahaman yang jelas dan tepat mengenai Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) sekali gus menyokong inisiatif transformasi perkhidmatan awam di Malaysia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast