KUANTAN – Kewujudan Klinik Kesihatan (KK) Bandar Kuantan merupakan antara usaha yang dibuat bagi menangani kesesakkan pesakit di Unit Kecemasan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan yang kian meruncing.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang Datuk Ir. Razali Kassim berkata, fasiliti ini terletak 4.4 kilometer (km) dari HTAA dan menawarkan perkhidmatan sehingga jam 9 malam pada hari bekerja dan 8 pagi sehingga 12 tengah hari pada hari Sabtu.
KK Bandar Kuantan hanya 9.4km dari KK Beserah, merupakan antara klinik kesihatan yang terdekat.
Manakala KK Balok terletak 10.2km dari klinik itu.
Menurutnya, selain KK Bandar Kuantan, terdapat beberapa klinik kesihatan di daerah ini yang mempunyai pegawai perubatan oncall (luar waktu bekerja) dan menawarkan perkhidmatan kecemasan atas panggilan 24 jam setiap hari.
Antaranya adalah KK Balok, KK Bukit Goh, KK Sungai Lembing, KK Gambang, KK Kurnia dan KK Paya Besar, katanya yang mengulas kesesakaan pesakit di HTAA dan fasiliti klinik kesihatan di bandar ini.
“Semua klinik ini menjalankan perkhidmatan kecemasan beserta pegawai perubatan oncall kecuali KK Kurnia disebabkan jarak klinik itu dengan HTAA hanya sejauh 5.3 km.
“Manakala, perkhidmatan kecemasan dan ambulans di KK Sungai Ular akan mula beroperasi pada Disember ini,” katanya yang mengulas kesesakaan pesakit di HTAA dan fasiliti klinik kesihatan di bandar ini.
Fasiliti klinik kesihatan lain juga berada di Beserah, Indera Mahkota, Raya Gading, Permatang Badak dan UTC, tetapi tidak menawarkan perkhidmatan luar waktu bekerja.
Namun katanya penduduk sekitar masih boleh mengakses perkhidmatan kecemasan dan ambulans dengan menghubungi talian 999.
Razali berkata, Kerajaan Negeri Pahang dan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) mengambil maklum dan sentiasa memantau berkaitan isu kesesakan pesakit di unit kecemasan HTAA.
Justeru, beliau berharap masyarakat di daerah Kuantan dapat menggunakan perkhidmatan kesihatan di klinik-klinik kesihatan yang disediakan untuk kesejahteraan semua. – MalaysiaGazette