Zulaila (kiri) dan bapanya, Zulkifli mati dibunuh seorang lelaki pada Khamis lalu.

GEORGE TOWN – Lelaki yang menikam mati dua beranak akibat cintanya ditolak dalam kejadian di hadapan lif di sebuah apartmen di Ayer Itam di sini, Khamis lalu akan didakwa esok.

Suspek berusia 32 tahun itu berdepan dua pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake berkata, polis berjaya melengkapkan siasatan kes bunuh berprofil tinggi ini dalam tempoh enam hari sehingga menghasilkan pertuduhan terhadap suspek bunuh berkenaan pada esok.

“Suspek akan didakwa di wad di Hospital Pulau Pinang (HPP) kira-kira jam 9 pagi,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dalam kejadian pada Khamis lalu, Siti Zulaila Zulkifli dan bapanya Zulkifli Ibrahim maut ditikam dengan pisau oleh seorang lelaki dipangsapuri berkenaan.

Susulan itu, suspek turut bertindak mengelar dan menikam dirinya beberapa kali sebelum dia dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut.

Suspek kemudian ditahan dan direman selama tujuh hari hingga 14 November bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Jenazah dua beranak itu selamat dikebumilan bersama dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Kariah Tanjong Tokong pada jam 10 malam Jumaat lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast