KUALA LUMPR – Kementerian Pertahanan (Mindef) komited untuk menyemak dan membuat segala pembaharuan yang bersesuaian bagi memastikan sistem kerja di kementerian tidak lapuk, tidak membuang masa atau membazirkan sumber selepas ini.
Menterinya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihaknya akan berusaha bersungguh-sungguh mewujudkan satu ekosistem dan persekitaran yang menyuburkan integriti dan bersifat anti korupsi, anti-culas dan anti-khianat.
Pada masa sama, beliau menjelaskan kecanggihan teknologi mesti dimanfaatkan dalam membudayakan integriti di kementerian tersebut.
“Perkembangan teknologi dan inovasi terkini mesti diberikan perhatian, selain sistem dalam talian, automasi dan pelbagai kelebihan perkomputeran serta reformasi digital, kita mesti mula menggunakan kelebihan yang ditawarkan oleh teknologi-teknologi terbaharu seperti big data analytics dan Kecerdasan Buatan (AI).
“Kesemua perkara ini membolehkan kita menganalisis trend, memantau prestasi dan
mengesan ketirisan dengan lebih baik, cepat dan berkesan.
“Keutuhan prosedur dan amalan kerja yang dibangunkan dengan sokongan teknologi dan pendigitalan juga akan membantu kita menutup banyak ruang ketirisan serta cubaan-cubaan yang tidak telus,” katanya di Wisma Pertahanan di sini hari ini.
Terdahulu beliau merasmikan Sambutan Hari Integriti 2024 Kementerian Pertahanan yang turut dihadiri Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Tan Sri Azam Baki.
Namun, Khaled percaya untuk melengkapkan ekosistem dan budaya kerja di kementeriannya dengan semua teknologi terkini, ia memerlukan sedikit masa dan juga kos yang mesti dirancang secara berperingkat dan strategik.
“Walau apa pun, saya memberi jaminan bahawa Kementerian Pertahanan akan mencari jalan untuk melabur dan membangunkan keupayaan teknologi dan pendigitalan dengan serius serta terancang.
“Kita juga akan memastikan segala prosedur, budaya kerja serta pelaksanaan tanggungjawab dan mandat oleh warga kementerian ini akan bersifat moden, kalis ketirisan serta mengangkat produktiviti sebagai tujahan yang dipegang oleh semua.
“Sekali pun mempunyai prosedur utuh, teknologi yang canggih, kesedaran yang mendalam tentang tanggungjawab dan amanah mesti sentiasa disemai dan diperkukuh dalam kalangan warga kita kerana akhirnya, integriti itu adalah tentang sikap dan sifat manusia, jadi, kita mesti membangunkan keutuhan dan nilai dalam diri setiap warga kita,” ujarnya lagi.
Menurut Khaled, ketiadaan integriti selalunya didorong oleh keinginan mendapat lebih daripada yang selayaknya, ketamakan dan ketiadaan pemahaman yang betul tentang kuasa dan amanah tanpa menghiraukan tentang kesan buruk yang akan diterima oleh organisasi.
Malah katanya, dalam dalam konteks pertahanan, integriti adalah sesuatu yang tidak
boleh dikompromikan.
“Banyak peristiwa yang dirakam oleh sejarah menunjukkan, betapa biar sekuat dan sekukuh mana pun sesebuah tamadun atau ketumbukan ketenteraan, ketirisan, pecah amanah dan masalah integriti akan meruntuhkannya.
“Kita mesti sedar, amanah yang dikhianati, tanggungjawab yang diabaikan dan sistem kerja yang terpalit dengan pelbagai keculasan, akan hanya merugikan semua pihak.
“Bertitik tolak dari kesedaran tersebut, pelbagai aktiviti kesedaran, pencegahan dan program turun padang akan terus diperkasakan di kementerian ini malah, untuk tahun 2025, saya harap, sesi pengukuhan nilai integriti dalam warga Kementerian Pertahanan dan ATM akan digerakkan dengan lebih berkesan dan menyeluruh,” kata beliau.-MalaysiaGazette