Mejar (B) Mohammad Qayyum Badaruddin hadir untuk membuat laporan polis terhadap seorang pegawai kaunseling tentera yang didakwa biadap dan membuat ugutan terhadapnya di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 12 NOVEMBER 2024

KUALA LUMPUR – Seorang bekas pegawai tentera yang juga penceramah motivasi dan kepimpinan hari ini membuat laporan polis selepas mendakwa dikasari dan diugut pegawai unit kaunseling Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), di sini, pada Jumaat lalu.

Mejar (B) Mohammad Qayyum A. Badaruddin, 56, mendakwa, pegawai terbabit telah mengasarinya dengan cara merangkul tengkuknya sambil mengeluarkan kata-kata kesat.

Semua itu berlaku hanya kerana dia bertanyakan mengenai masa slot ceramahnya dalam satu program ceramah motivasi kepada pegawai kadet ALK yang turut disertai Bahagian Psikologi Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang dikendalikan pegawai terbabit.

Katanya, pegawai itu telah mencuri masa ceramahnya yang sepatutnya bermula pada pukul 4 petang.

“Saya hanya bertanya kepada pegawai itu, bilakah sesi ceramahnya hendak berakhir kerana dia telah mengambil masa yang telah diperuntukkan kepada saya.

“Saya bertanyakan mengenai perkara tersebut kerana selepas itu saya terpaksa bergegas ke tempat lain untuk menghadiri satu lagi program dan sebelum itu saya kena mengikuti raptai.

“Tetapi, pegawai kaunseling itu telah menunjukkan sikap tidak profesional dan biadab terhadap saya dengan mengeluarkan kata-kata tidak hormat termasuk merangkul tengkuk dan mengheret saya hingga ke belakang dewan,” katanya yang merupakan penceramah jemputan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, di sini.

Mengulas lanjut, Mohammad Qayyum mendakwa, pegawai kaunseling terbabit secara angkuh telah menyatakan kepadanya, ikut suka hati mereka untuk menghabiskan masa slot itu sambil mengugut mahu menumbuknya.

Pegawai terbabit juga mengatakan, untuk apa dia mahu menghormatinya yang kini bukan lagi seorang pegawai tentera.

Mendengarkan kata-kata itu, beliau mengambil pendekatan preventif kerana tidak mahu berlaku sebarang kejadian tidak diingini serta mahu menjaga ‘moodnya’ untuk berceramah selepas itu.

Katanya, kejadian itu disaksikan pegawai-pegawai kadet yang mengikuti ceramahnya itu.

“Sikap tidak professional dan angkuh pegawai komando terbabit amat memalukan dan menggambarkan betapa rendahnya kualiti pegawai berpangkat mejar yang kononnya merupakan pegawai psikologi bertauliah.

“Emosi saya sangat terganggu dan kredibiliti saya sebagai penceramah yang perlu memberi semangat dan motivasi kepada pegawai kadet terjejas kerana tindakan beliau (bersikap biadab) di hadapan mereka (pegawai kadet),” ujarnya.

Tambah beliau, dia ada menuntut pegawai terbabit untuk membuat permohonan maaf atas apa yang berlaku namun, sehingga kini tiada maklum balas daripadanya.

Justeru katanya, laporan polis itu dibuat bagi mengelak lebih ramai yang menjadi mangsa keangkuhan pegawai terbabit yang sebenarnya telah mencalar kredibiliti tentera darat dan ATM secara keseluruhannya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast