MELAKA – Taktik pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar bersembunyi di dalam khemah berhampiran kawasan belukar di Jalan Tambak Bugis, Telok Mas, di sini, sejak empat bulan lalu akhirnya terbongkar apabila diserbu Jabatan Imigresen Malaysia Melaka awal pagi tadi.
Dalam serbuan pukul 1 pagi itu, keempat-empat mereka berusia 30 an hingga 40 an sedang nyenyak tidur dalam dua khemah manakala lapan lagi warga asing lain tidur di bangsal pondok kayu yang turut dilengkapi dapur.
Selain itu, terdapat juga warga asing tidur di bawah besi perancah yang ditutupi kanvas putih bagi mengelak mereka dikesan pihak berkuasa.
Difahamkan kesemua mereka bekerja sebagai buruh binaan bagi projek pembinaan sebuah rumah banglo bersebelahan lokasi itu yang didakwa didalangi seorang lelaki warga Bangladesh sebagai penyelia mereka.
Tinjauan mendapati, lokasi penginapan PATI itu juga dilengkapi kemudahan peti sejuk selain terdapat sebuah stor khas yang menyimpan pelbagai peralatan pertukangan untuk kegunaan menyiapkan banglo terbabit.
Sementara itu, Pengarah Imigresen Melaka, Anirwan Fauzee Mohd Aini berkata, seramai 22 pegawai dan anggota terlibat dalam Ops Gegar, Selera, Sapu dan Kutip itu di lapan lokasi panas sekitar Melaka Tengah bermula pukul 10 malam semalam dan berakhir 3 pagi tadi.
“Dalam pemeriksaan di lokasi ketujuh di Jalan Tambak Bugis, seramai 12 warga Myanmar diperiksa termasuk seorang wanita berusia 30-an hingga 40-an.
“Empat daripadanya kesemua lelaki ditahan kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia
yang menjadi kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155),” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambahnya, lapan lagi termasuk seorang wanita dipercayai menyalahgunakan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) untuk bekerja ditempat lain.
Mengulas lanjut, Anirwan berkata, secara keseluruhan Imigresen Melaka memeriksa 42 individu termasuk 38 warga asing dari Indonesia, Thailand, Myanmar, India dan Pakistan dalam operasi itu.
“Seramai 14 warga asing adalah dari Myanmar, Thailand dan Indonesia dalam pemeriksaan di lapan lokasi termasuk di restoran, rumah, pusat urut sekitar Malim, Telok Mas, Batu Berendam dan Klebang.
“Sebanyak lapan Borang Imm.29 atau saman kepada saksi turut dikeluarkan kepada warga tempatan dalam operasi berkenaan dan kesemua kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15(1)(c) Akta 155 dan Perkara 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963,” katanya. – MalaysiaGazette