Monday, December 2, 2024
Home Ekonomi Kriteria dan kaedah penentuan T15 belum muktamad – Amir Hamzah

Kriteria dan kaedah penentuan T15 belum muktamad – Amir Hamzah

Amir Hamzah Azizan

KUALA LUMPUR – Kriteria dan kaedah penentuan golongan T15 belum dimuktamadkan dan tidak terhad semata-matanya berdasarkan tahap pendapatan, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

“Kerajaan komited membela nasib majoriti rakyat termasuk golongan pertengahan dalam menghadapi cabaran kos sara hidup,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Pada pembentangan Belanjawan 2025 bulan lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan beberapa subsidi akan dikurangkan bagi golongan T15.
Bagaimanapun timbul reaksi oleh ramai pihak mengenai pengkelasan golongan T15 berkenaan.

Bagi cukai dividen, menurut Amir Hamzah, prinsipnya adalah mereka yang berkemampuan dan menjana pendapatan turut menyumbang kepada hasil cukai.

“Dengan itu, adalah wajar mereka yang memiliki pelaburan saham tersenarai dan juga tidak tersenarai diliputi cukai dividen.

“Usahawan yang memiliki syarikat sendirian berhad yang hanya menerima dividen tetapi tidak mengambil gaji hanya tertakluk kepada cukai syarikat s24 peratus sementara individu yang menerima gaji bakal membayar cukai pada kadar sehingga 30 peratus.

“Kadar cukai individu untuk pendapatan penggajian dikenakan melebihi kadar 24 peratus bagi pendapatan RM100,000 ringgit ke atas. Dengan itu, kadar cukai dividen dua peratus merupakan kadar minimum berbanding enam peratus berdasarkan perbezaan kadar cukai syarikat 24 peratus dan kadar cukai individu sehingga 30 peratus,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast