Anggota Jabatan Pengangkutan Jalanraya (JPJ) Selangor menyita sebuah motosikal ditunggang seorang warga asing yang tidak mempunyai dokumen lengkap pada Operasi Motosikal Bersepadu JPJ Selangor di Plaza Tol Petaling Jaya Selatan, Selangor. Foto SADIQ SANI, 12 NOVEMBER 2024

PETALING JAYA – Cubaan berani beberapa penunggang motosikal yang cuba melawan arus untuk meloloskan diri ketika Operasi Khas Motosikal dijalankan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Plaza Tol Petaling Jaya, Lebuhraya Damansara- Puchong di sini malam tadi mengundang padah.

Tindakan mereka berjaya digagalkan apabila mereka kemudiannya berjaya dikejar dan ditahan anggota Unit Peronda Bermotosikal (UPB) Jabatan Pengangkutan Jalan tidak jauh dari lokasi sekatan itu dilaksanakan.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Azrin Borhan berkata, seramai 58 pegawai dan anggotanya, 11 anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), serta empat kakitangan Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd (Litrak) terlibat dalam operasi yang dijalankan bermula jam 8 malam hingga 11 malam tadi.

“Kita telah menahan dan memeriksa sebanyak 631 buah motosikal dalam sekatan jalan itu dan sebanyak 159 buah motosikal telah diambil tindakan atas 295 kesalahan.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalanraya (JPJ) Negeri Selangor, Azrin Borhan melakukan pemeriksaan terhadap penunggang motosikal pada Operasi Motosikal Bersepadu JPJ Selangor di Plaza Tol Petaling Jaya Selatan, Selangor. Foto SADIQ SANI, 12 NOVEMBER 2024

“Kesalahan tertinggi yang direkodkan mereka adalah tiada lesen memandu sebanyak 122 kes, cukai jalan tamat tempoh (65), tiada insurans (38) serta pelbagai kesalahan teknikal (32 kes),” katanya dalam sidang media di lokasi operasi di laksanakan di sini.

Selain itu, tambah beliau JPJ turut mengesan 19 kesalahan melibatkan nombor pendaftaran, lain-lain kesalahan (11) dan tujuh kesalalahan utama.

Jelas Azrin lagi, JPJ turut mengeluarkan sebanyak 3,855 notis saman sepanjang Operasi Khas Motosikal melalui pemeriksaan 19,362 motosikal di 286 lokasi seluruh negeri ini melibatkan penugasan seramai 325 pegawai dan anggota JPJ Selangor sejak 1 November lalu.

“Kesalahan tertinggi yang direkodkan adalah melibatkan teknikal seperti mengubah suai ekzos bising, sebanyak 1,644 kes membabitkan ubahsuai komponen motosikal diikuti kesalahan tiada cukai jalan serta cukai jalan tamat tempoh (983 kes) serta 737 kesalahan tiada lesen memandu dan lesen memandu tamat tempoh.

“Kita juga mengesan sebanyak 302 kes kesalahan melibatkan nombor pendaftaran, lain-lain kesalahan (155) serta beberapa kesalahan utama (34),” jelasnya lagi.

Tegas Azrin, kesalahan teknikal ini dilihat antara yang popular dikesan sepanjang operasi khas motosikal ini antaranya ubah suai ekzos, lampu dan beberapa komponen lain, dilakukan dengan alasan kononnya menunjukkan ‘kecantikan’ motosikal kepada rakan-rakan.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalanraya (JPJ) Negeri Selangor, Azrin Borhan ketika hadir pada Operasi Motosikal Bersepadu JPJ Selangor di Plaza Tol Petaling Jaya Selatan, Selangor. Foto SADIQ SANI, 12 NOVEMBER 2024

Jelas beliau, JPJ percaya antara faktor berlakunya perbuatan ubahsuai motosikal ini adalah terpengaruh dengan rakan-rakan selain mempercayai ia dilakukan kononnya untuk menambah kelajuan ketika menunggang motosikal,” katanya.

“Kita menjalankan operasi ini untuk mengurangkan kadar kemalangan melibatkan penunggang motosikal dan foku JPJ ialah untuk memantau, mengesan dan mengambil tindakan terhadap mana-mana penunggang motosikal yang melanggar peraturan ditetapkan,” katanya lagi.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here