KUALA LUMPUR – Seorang pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) disiasat kerana disyaki menjual kandungan video lucah adegan sendiri di aplikasi X.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata, pelajar lelaki berkenaan meraih pendapatan sehingga RM3,000 sebulan dengan anggaran harga sehingga RM150 bagi setiap video.

“Siasatan awal MCMC mendapati, kegiatan suspek bermula dari 2021 dengan memuat naik semula kandungan lucah sedia ada yang dikongsi pengguna lain ke platform X.

“Modus operandi suspek kemudiannya berubah kepada memuat naik dan menjual video lucah adegan sendiri bersama wanita yang dikenali, sehingga memperoleh lebih 100,000 pengikut di platform tersebut,” katanya menerusi kenyataan.

Menurut badan kawal selia itu lagi, kegiatan pelajar berkenaan terbongkar selepas MCMC membuat risikan berdasarkan aduan awam sebelum menyerbu sebuah premis di Shah Alam.

Hasil daripada operasi tersebut, MCMC telah menyita satu unit telefon bimbit serta kad sim dipercayai milik suspek yang telah digunakan untuk memuat naik kandungan tersebut.

Tambahnya, pelajar terbabit bersama seorang wanita yang merupakan penuntut institusi pengajian tinggi swasta juga telah dipanggil untuk dirakam keterangan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 233(2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998). Sekiranya disabitkan kesalahan, suspek berdepan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga satu tahun, atau kedua-duanya sekali. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast